MELAKA: Seramai 500 tentera terdiri dari 10 negara ASEAN menyertai Kejohanan Menembak 28th ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) 2018 yang diadakan dari 18 hingga 24 Nov 2018.
Acara pembukaan kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah di Dataran Lapang Sasar 400 meter Kem Terendak pada 17 Nov 2018.
Kejohanan AARM 2018 merupakan penganjuran kali kelima bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), selepas kali terakhir menganjurkannya pada tahun 2010 dimana TDM mengambil giliran selaku tuan rumah selepas AARM 2017 yang dikelolakan oleh Tentera Darat Singapura.
Pelbagai kategori senjata yang dipertandingkan antaranya Pistol Lelaki, Pistol Wanita, Rifle, Carbine dan Machine Gun yang mana kesemua pertandingan akan diadakan di Lapang Sasar Kem Terendak meliputi Lapang Sasar 100m, 400m dan 600m.
AARM merupakan acara pertandingan menembak tahunan yang diadakan sebagai satu bentuk pengukuhan hubungan kerjasama antara Tentera Darat Negara ASEAN sejak tahun 1991 dan diperkenalkan oleh TDM hinggalah kini kejohanan memasuki edisi Ke-28.
Selain itu, semasa acara pembukaan turut diadakan Pertandingan Menembak Novelti Pegawai Kanan dalam acara Pistol.
Pada masa sama, TPTD berkesempatan berjumpa dengan Tim Menembak TDM dan memberi kata-kata perangsang agar Tim TDM memperoleh kejayaan dalam AARM 2018.
Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Wira Zamrose Mohd Zain, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan pegawai kanan TDM.
Gambar: SSjn Vijay Gaunder Arikrishnan