LatihanRencana

Eksesais SATRIA PERKASA Mantapkan Kesiagaan TD

Penduduk Felda Bersia, Gerik dikejutkan dengan bunyi letupan dan tembakan bertubi-tubi seawal jam 0650 pagi pada 10 Mac 2019. Ada yang bertempiaran lari keluar dari rumah bagi melihat sendiri apa yang sedang berlaku di felda mereka pada pagi itu. Ada juga yang mengambil peluang cuba merakam mengunakan telifon bimbit akan  situasi dan keadaan ketika itu bagi tujuan menjadi wartawan terawal mengetahui hal demikian.  Masing-masing tertanya-tanya samada berlaku serangan atau sudah berlaku peperangankah di kawasan mereka. Apakah pisang sudah berbuah dua kali di mana peristiwa di Felda Sahabat, Lahat Datu berulang kembali dan kini terjadi di Felda Bersia pula? Beberapa hari sebelum itu penduduk felda berasa hairan dengan kehadiran ramai anggota tentera bersama aset-aset tentera ke kawasan mereka yang mana sebelum ini jarang-jarang untuk melihat abang-abang tentera melintas di felda mereka.

Akhirnya pertanyaan penduduk setempat berkenaan letupan dan tembakan yang kedengaran itu terungkai setelah mengetahui ianya adalah satu latihan dari Tentera Darat (TD) yang melakukan  serangan fasa akhir oleh pasukan 6 Briged (Bgd) ke atas pertahanan musuh yang menjadikan Felda Bersia sebagai kubu terakhir musuh.

Eksesais SATRIA PERKASA 6 Bgd Tahun 2019 merupakan Latihan Medan kesinambungan dari Eksesais EAGLE BAKTI peringkat 2 Div serta Eksesais SATRIA GAGAH 6 Bgd Tahun 2017. Eksesais ini merupakan latihan yang dikawal sepenuhnya oleh MK 2 Div yang berpangkalan di Kawasan Am Kuala Kangsar serta melibatkan Kumpulan Tempur 6 Bgd sebagai pelaku utama dan dibantu oleh Trup Div, Medan dan TD dalam melaksanakan Operasi Konvensional dalam Fasa Ofensif.

Objektif eksesais adalah untuk mengukur keupayaan operasi tempur ketumbukan 6 Bgd dalam Peperangan Konvensional yang beroperasi sebagai sebuah pasukan gabungan (combined arms) serta keupayaan fungsi pemerintah dan staf dalam perancangan, kawalan aturgerak dan pelaksanaan operasi ofensif. Selain itu, ianya juga untuk menilai aplikasi Taktik, Teknik dan Prosedur (TTP) di setiap peringkat pemerintah berdasarkan doktrin, ARTEP dan PROTAP formasi selain dapat meningkatkan kemahiran staf dan pemerintah merancang keperluan tadbir serta logistik terutama melibatkan KSB.

Pada kali ini TD telah melaksanakan dua latihan medan secara serentak di peringkat Briged (Bgd) iaitu di Medan Barat oleh Formasi 6 Bgd dan di Medan Timur oleh Formasi 3 Bgd bagi menilai keupayaan Operasi Tempur dan Logistik.

Eksesais SATRIA PERKASA 6 Bgd telah bermula dari Sungai Siput, Kuala Kangsar hingga ke Gerik, Perak melibatkan kekuatan seramai 164 pegawai dan 3,248 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) manakala Eksesais SATRIA PERKASA 3 Bgd dilaksanakan di sekitar kawasan Lundu, Bau, Puncak Borneo, Tebedu, Mongkos dan Engkabang melibatkan 111 pegawai dan 2,086 LLP.

Pembukaan eksesais bagi formasi 6 Bgd  dan penutup eksesais bagi formasi 3 Bgd disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi.

Manakala pembukaan eksesais  bagi formasi 3 Bgd dan penutup eksesais bagi formasi 6 Bgd disempurnakan oleh TPTD, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah. 

Latihan yang bermula dari 1 hingga 10 Mac itu juga bersempena dengan sambutan Hari TD Ke-86 pada tahun ini yang disambut dengan pelbagai acara yang diadakan di Ladang Kamuning, Sungai Siput, Perak.

Terdahulu dari itu dalam ucapan PTD semasa Perbarisan Tempur Hari TD Ke-86 pada 1 Mac 2019, beliau mengingatkan kepada semua warga TD supaya memberi sepenuh tumpuan, komitmen dan tidak berlakon dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi.

Beliau turut menegaskan bahawa semua anggota tentera bekerja 24 jam, maka utamakanlah tugas dan kerjaya tentera bukan tempat untuk mencari kekayaan atau mengejar kemewahan.

Disamping itu beliau mahukan peluang dan ruang semasa melaksanakan Eksesais SATRIA PERKASA digunakan untuk berlatih sebagai satu kumpulan untuk berperang, bukan untuk demonstrasi semata-mata.

“Kita juga ingin melihat sejauh mana kelengkapan yang telah diberikan, diguna pakai dengan elok dan saya mengatakan ini sebab saya hendak buktikan bahawa tentera ini kerjanya berlatih.

“Semua peringkat warga perlu ada pemikiran membudayakan latihan sama ada fizikal, mental dan rohani serta jadikan sebagai gaya hidup sihat tentera untuk memantapkan lagi jati diri,” kata PTD.

Garis panduan serta prinsip-prinsip yang dicatatkan dalam Doktrin/Manual Latihan TD perlu dipatuhi dan hanya dengan cara itu, penilaian yang tepat serta kelemahan sebenar dapat dikenal pasti dalam eksesais kali ini kerana penjajaran yang bakal dilakukan kelak tertakluk kepada hasil post mortem eksesais.

Secara keseluruhannya eksesais ini merupakan satu latihan kepada warga TD untuk meningkatkan lagi kemahiran dan keyakinan sebagai anggota terlatih bagi mengekalkan kredibiliti dan kesiagaan TD. Apa yang terjadi semasa latihan hendaklah dijadikan pedoman dan panduan taktala berhadapan sengan situasi sebenar. Ditambah pula tahun 2019 merupakan tahun latihan dan penjajaran yang perlu diterjemahkan secara pro-aktif kearah memastikan TD terus unggul menggalas amanah yang diberi.

Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan dan Saifun Hakimi Zainon


[custom-facebook-feed album=2574263635935869]

Artikel Berkaitan

Back to top button

bonus new member

sicbo online