KUALA LUMPUR: Program Nadwah Ilmiah (NAIM) – Rahmatan Lil Alamin Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2019 telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Hj Mohamad Sabu diiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 3 Mei 2019.
Seramai 1,000 peserta terdiri dari pegawai dan anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, pegawai awam Kementerian Pertahanan, peserta jemputan dari agensi penguatkuasa serta agensi agama terlibat dalam program ini di mana dalam Sesi Townhall telah dikendalikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
NAIM merupakan satu program berbentuk kolokium ilmuan anjuran bersama Jabatanarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertemakan Penghayatan Konsep Rahmatan Lil Alamin (Mercy To All Creations) berpaksikan Maqasiah Syariah yang bermaksud tuntutan dalam kehidupan manusia untuk menjaga lima terasa utama seperti Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta.
Objektif program ini bertujuan untuk memperkasakan barisan kepimpinan agensi keselamatan dari sudut pemahaman dan penghayatan Maqasid Syariah serta meningkatkan imej Kementerian Pertahanan dan ATM dalam menyuburkan nilai integriti yang konsisten melalui kekuatan medium Maqasid Syariah.
Selain itu untuk mengeratkan hubungan dan menyuburkan sifat kerjasama antara ATM dengan lain-lain agensi beruniform dalam negara demi kepentingan dan kecemerlangan organisasi serta menyemarakkan wacana minda bagi persefahaman untuk kepentingan bersama antara pihak kerajaan dan warga Kementerian Pertahanan.
Seterusnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyerahkan Profil Maqasid Syariah dan Tadbir Urus Negara kepada MENHAN sebagai garis panduan kepada kementerian dalam melaksanakan urusan pentadbiran Negara mengikut konsep berlandaskan Maqasid Syariah.
Turut hadir Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hj Mohamad Nordin Ibrahim, Mufti Negeri Kelantan, Sahibus Samahah Dato’ Paduka Hj Mohamad Shukri Mohamad, Pengarah JAWI, Tuan Hj Mohd Ajib Ismail serta panglima perkhidmatan.
Gambar: Kpl Ainur Aisyah Yahaya