Bersama PemimpinLawatanSemasa

Dua Pos Baharu Perkukuh Kawalan Sempadan Utara Malaysia

KEDAH: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob meninjau ke kawasan Sektor Utara OP PAGAR II yang merupakan kawasan kawalan sempadan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bukit Kayu Hitam pada 12 Dis 2020.

Semasa lawatan tersebut Menteri Kanan Pertahanan menyatakan, kerajaan akan membina dua pos kawalan baharu serta menambah kelengkapan moden bagi memperkasa kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau menjelaskan, pos baharu yang akan dibina ini akan menempatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang akan bekerjasama dengan Tentera Darat Diraja Thailand.

“Pos Sempadan Terkordinasi ini adalah kawalan bersama Tentera Darat Thailand yang mana dalam pos ini, TD dan Tentera Darat Thailand akan membuat kawalan secara bersama, bertukar-tukar maklumat dan memperkasakan kawalan di sempadan negara.

“Perancangan penambahan pos ini melibatkan pembinaan Pos Batu Sempadan 34 dan Pos Batu Sempadan 36 di Daerah Padang Terap, Kedah.

“Selain itu operasi kawalan sempadan di bahagian utara tanah air akan dilaksanakan secara bersepadu termasuk dari segi rondaan kawasan oleh semua agensi keselamatan yang berkaitan, mulai Jan tahun hadapan,” jelas beliau semasa sidang media di Batalion Kelima Rejimen Sempadan (5 RS).

Tambahnya lagi kerajaan juga bersetuju menambah kelengkapan baharu bagi kegunaan anggota ATM di sempadan negara, termasuk peralatan pemantauan teknologi tinggi seperti dron dan CCTV.

“Kita juga akan meningkatkan kawalan berdasarkan penambahan bukan sahaja dari segi persenjataan, tetapi peralatan yang lain seperti menambah motosikal scrambler, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) dan sebagainya.

“ATM juga akan meningkatkan kawalan dengan menggunakan teknologi moden sebagai contoh menambah penggunaan dron yang boleh digunakan sepanjang masa dan disetiap kawasan,” jelasnya.

Selain itu kerajaan juga akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar pemasangan CCTV di kawasan yang terpilih untuk mengesan kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau penyeludup dari menceroboh kawasan negara.

Pada masa sama penggunakan radar di beberapa kawasan akan digunakan supaya dapat mengesan dengan lebih pantas setiap pergerakkan.


“Ini bermakna kita ada empat lapis, satu kawalan dari pihak tentera, kedua kita ada dron, ketiga ada CCTV dan akhir kita ada penggunaan radar.


“Jika semua ini kita dapat laksanakan disini, saya percaya kawalan kesalamatan akan lebih ketat dan berkesan,” ujarnya.

Terdahulu dari itu, sebaik ketibaan Menteri Kanan Pertahanan di 5RS, beliau diberi taklimat pengoperasian oleh Pegawai Memerintah yang terlibat operasi sebelum dibawa ke Pos 5, OP PAGAR II.

Lawatan beliau bertujuan untuk meninjau kesiapsiagaan dan atur gerak ATM khususnya bagi pelaksanaan operasi Kawalan Sempadan Negara di Zon Utara.

Selain itu beliau turut diberi taklimat semasa di Pos 5 berkenaan pengoperasian dron oleh Lt Ahmad Zulhafiz Ahmad Yusri dari Batalion 165 Risik Tentera Darat di sektor tersebut.

Beliau juga dibawa meninjau ke kawasan operasi bagi melihat situasi semasa dan penugasan anggota yang melaksanakan tugas sentiasa di atur gerak dengan kekuatan yang mencukupi pada setiap masa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima 2 Div, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan TD, Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail, Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Dato’ Rezil Shahidin, Panglima 6 Bgd, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Halim Khalid dan Panglima 30 Bgd, Brig Jen Mohd Zaki Abu.

Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button