KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kebajikan anggota dan veteran akan sentiasa diberi perhatian dalam soal perumahan sama ada Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan juga Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).
“Sebanyak RM 500 juta akan diperuntukkan untuk RKAT, disediakan bagi kemudahan semua anggota ATM yang mana akan menggunakan konsep pembelian baharu atas unit rumah yang telah siap dibina.
“Saya dimaklumkan bahawa terdapat kira-kira 4,000 anggota ATM sedang menyewa di luar kem dan untuk Fasa Pertama, Kementerian Pertahanan akan menyediakan 2,000 unit rumah baharu bagi meringankan beban anggota ATM,” jelas beliau.
Menteri Kanan Pertahanan berkata demikian semasa ucapannya dalam Majlis Minum Petang bersama Warga Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD) di Dewan Dato’ Jamil Ahmad pada 26 Dis 2020.
Tambah beliau lagi, sebanyak RM 2.3 billion akan diperuntukkan untuk menyelenggara aset-aset sedia ada dan menambah aset-aset lain bagi kegunaan ATM berlanjutan dengan pelan perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Terdahulu dari itu, beliau telah melakukan lawatan ke MK PMBTD diiringi Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.
Sebaik ketibaan di MK PMBTD, beliau menerima tabik hormat Kawalan Suku dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) lalu diperkenalkan dengan pegawai-pegawai MK PMBTD.
Acara diteruskan dengan sesi taklimat yang disampaikan Ketua Staf Am MK PMBTD, Mej Jen Dato’ Hj Mohd Hassan Lokman berkenaan perkembangan terkini PMBTD serta keadaan semasa OP BENTENG.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz serta Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, Mej Jen Datuk Hj Hamdan Hj Ismail.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi