KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) di Markas Pemerintahan Logistik Tentera Darat (MK PLTD) pada 25 Jan 2021.
Seramai empat pegawai kanan dinaikkan pangkat didahului Brig Jen Dato’ Hj Reduan Hj Omar yang dinaikkan pangkat dari Brig Jen ke Mej Jen dan kekal menjawat jawatan sebagai Pengarah Kor Armor Diraja (KAD).
Sementara itu turut dinaikkan pangkat yang sama ialah Brig Jen Muhammad Ariff Soo Abdullah dan menjawat jawatan sebagai Panglima Logistik TD.
Acara turut menyaksikan pemakaian pangkat dari Kol ke Brig Jen iaitu Kol Abdul Aziz Samsi @ Hj Shamsudin dan kenaikan pangkat Lt Kol ke Kol melibatkan Lt Kol Muzafar Shah Mosam Shah.
Dalam ucapan PTD, beliau menyeru kepada pegawai kanan yang baharu dinaikkan pangkat agar bertindak menjadi pemangkin yang dapat memupuk semangat kerjasama berpasukan dan seterusnya mendorong organisasi yang dipimpin ke arah kecemerlangan.
Beliau juga turut menasihati kepada semua warga TD agar sentiasa mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan memandangkan jumlah peningkatan angka kes COVID-19 semakin meningkat.
Turut hadir, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, Puan Sri Datin Zainuriah Hj Mustapha, Timbalan PTD, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman serta penglibatan minima pegawai kanan TD ) sejajar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Gambar: Pbt Muhammad Fadzil Akirul