KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan warga Tentera Darat (TD) yang berada di Lembah Klang menunaikan Solat Jumaat dan mendengar Khutbah Khas sempena Sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-88 di Masjid Angkatan Tentera, Sg Besi pada 26 Feb 2021.
Khutbah Khas ini bertemakan Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara disampaikan oleh Pengarah Agama Markas Tentera Darat (MK TD), Kol Hj Mohd Rashidi Bujai yang mana intipati khutbah memetik daripada Tonggak Kelima dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam yang mana kerjasama agensi awam dan rakyat perlu diteruskan dalam menangani cabaran COVID-19.
Dalam khutbah tersebut, mimbar menyatakan pelaksanaan OP PENAWAR dan OP BENTENG adalah bukti yang menunjukkan TD berganding bahu dalam membantu kerajaan Malaysia memutuskan rangkaian COVID-19 disamping turut membantu mangsa banjir di bawah pelaksanaan OP MURNI serta menjaga kebajikan warganya.
Selain itu, mimbar juga mengatakan berkenaan jasa dan pengorbanan sepanjang 88 tahun TD melaksanakan tanggungjawabnya iaitu mempertahankan kedaulatan negara yang merupakan tanggungjawab yang amat mulia di sisi agama dan masyarakat.
“Sambutan yang dilakukan bukanlah sekadar perayaan, sebaliknya ia adalah suatu peringatan bahawa keamanan yang dikecapi bukannya datang bergolek bahkan ianya adalah hasil pengorbanan dengan menggadaikan percikan keringat, curahan tenaga dan titisan darah.
“Pengorbanan ini tidak akan lengkap tanpa kerjasama, bantuan dan dokongan daripada rakyat yang ingin melihat tanah air mereka sentiasa dalam keadaan aman damai dan penuh keberkatan,” kata mimbar.
Turut menunaikan Solat Jumaat, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul