PAHANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Lawatan Kebajikan melawat seorang anggota Tentera Darat (TD) di Felda Sebertak pada 6 Mac 2021.
Setahun yang lepas, Kpl Mohd Azalan Mohd Zain dari 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan kaki kiri serta menyukarkan beliau untuk bertugas sebagai seorang anggota tentera.
Beliau hampir berputus asa namun sokongan dari keluarga serta rawatan yang diterima menyebabkan beliau terus bangkit dan bersemangat untuk kembali bertugas setelah menerima kaki palsu dari Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
Dalam lawatan tersebut, Menteri Kanan Pertahanan menyerahkan kaki palsu serta menyempurnakan pemakaian pangkat Sjn kepadanya disaksikan oleh PTD.
Beliau sangat terharu serta berterima kasih di atas penghargaan serta keprihatinan yang diberikan oleh Menteri Kanan Pertahanan dan PTD terhadapnya.
Selain itu, Menteri Kanan Pertahanan turut menyarankan supaya beliau terus bekerja semula setelah serasi menggunakan kaki palsu dan disokong oleh PTD.
Beliau juga berikrar akan membuktikan bahawa dirinya mampu bekerja semula walaupun keadaan dirinya tidak seperti dahulu.
“Saya akan buktikan dengan keadaan seperti sekarang saya mampu kembali bekerja dan semangat ingin bekerja kian membara dalam diri saya walaupun dengan kaki palsu,” katanya.