KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Mohammad Abdul Rahman mewakili Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan perasmian Program Derma Darah Perdana sempena Hari Kebangsaan Ke-64 di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Sg Besi pada 1 Sep 2021.
Acara ini bertujuan untuk mendokong Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu menekankan Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam, khususnya dalam usaha membantu Pusat Darah Negara mengisi keperluan Tabung Darah Negara yang pastinya memberi manfaat kepada masyarakat.
Program derma darah ini adalah hasil kerjasama di antara Pusat Darah Negara (PDN) bersama Tentera Darat (TD) yang akan berlangsung selama sehari melibatkan anggota TD dari sekitar Lembah Klang dan mensasarkan seramai 400 orang penderma.
Majlis diakhiri dengan gimik pelancaran program perasmian Program Derma Darah dengan menyerahkan mock up pek darah kepada wakil Pusat Darah Negara.
Aktiviti ini merupakan tanda kerjasama erat Tentera Darat (TD) dengan Pusat Darah Negara dan secara langsungnya membuktikan pengorbanan warga TD demi kepentingan masyarakat umum.
Acara dilaksanakan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan oleh pihak kerajaan walaupun dijalankan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara, Dr Tun Maizura Mohd Fathullah.