SELANGOR: Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz menghadiri Majlis Penyerahan 15,000 Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2021 di Pangkalan Udara (PU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 17 Nov 2021.
Majlis penyerahan ini merupakan majlis kali kedua yang dilaksanakan selepas serahan fasa pertama berjumlah 10,000 kotal di hotel terkemuka di Selangor pada 27 Ogos 2021.
Untuk agihan kotak makanan pada hari ini, sebanyak 5,000 kotak akan dihantar ke Sabah dan Sarawak menggunakan pesawat Airbus A400 manakala selebihnya telah diterima oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Cawangan Negeri di Semenanjung Malaysia.
Dalam ucapan Timbalan Menteri Menteri Pertahanan, beliau menyatakan bahawa Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM merupakan salah satu aktiviti yang dirangka bagi menyokong Program MINDEF Prihatin yang dilancarkan pada 19 Jul 2021.
“Dijangka inisiatif pada hari ini yang berupa sumbangan keperluan makanan asas akan memanfaatkan 15,000 keluarga dan balu veteran ATM yang terjejas pendapatan kesan daripada pandemik COVID-19.
“Inisiatif yang dilaksanakan mulai bulan Ogos hingga Dis 2021 merupakan satu manifestasi keprihatinan kerajaan khasnya dan masyarakat Malaysia amnya terhadap kebajikan keluarga dan balu veteran ATM yang rata-rata adalah tergolong di dalam kelompok B40,” jelasnya.
Tambah Timbalan Menteri Pertahanan lagi, inisiatif ini turut mendapat kerjasama daripada beberapa badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan dimana Pengasas Country Heights Holdings Berhad dan Golden Horse Investment Bank, Tan Sri Lee Kim Yew berbesar hati menyumbangkan lagi 15,000 kotak makanan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan Pengarah JHEV, Mej Jen Dato’ Dzulkarnain Ahmad.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime