NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menzahirkan rasa gembira dan kesyukuran kerana seluruh warga kontinjen Malaysian Battalion (MALBATT) 850-8 selamat kembali ke tanah air secara berperingkat bermula 1 Okt hingga 16 Nov 2021.
Menurut beliau, sikap profesionalisme dan amalan tadbir urus yang baik membolehkan MALBATT 850-8 berjaya mengawal selia kawasan tanggungjawab seluas 288 kilometer (km) persegi serta memantau keselamatan 48 buah perbandaran di Lubnan.
“Hasil bimbingan dan kepimpinan yang jitu, kontinjen ini telah berjaya mendapat pengiktirafan daripada United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) Head of Mission merangkap Force Commander, sebagai role model kepada kontinjen-kontinjen negara lain di bumi Lubnan.
“Saya berasa bangga dengan apa yang dilakukan MALBATT 850-8 di mana pengalaman ini perlu dikongsi sebagai pengajaran tentang pentingnya kita menghargai nikmat kebebasan serta menjalani kehidupan serba mencukupi di bumi Malaysia,” jelas PAT.
PAT berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) MALBATT 850-8 bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 1 Dis 2021.
Terdahulu, ketibaan beliau disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
MALBATT 850-8 berkekuatan seramai 83 pegawai dan 771 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan yang diketuai oleh Kol Azudin Hassan selaku Komander MALBATT 850-8.
Buat pertama kalinya MALBATT menerima sijil pengiktirafan Environmental Compliance daripada UNIFIL sejak diaturgerak 13 tahun lalu.
Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan serta kemampuan ATM dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Hj Yazid Hj Arshad TUDM, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi dan Panglima Operasi Udara TUDM, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh Hj Osman.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime