Bersama PemimpinSemasaTentera Bersama Rakyat

Sidang Media Pelancaran Filem ‘MALBATT: Misi Bakara’

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain berbesar hati menghadiri Sidang Media Pelancaran Filem ‘Malaysian Battalion (MALBATT): Misi Bakara’ bertempat di sebuah hotel terkemuka sekitar Kuala Lumpur pada 10 Sep 2022.

Filem ini berkisarkan operasi sebenar yang pernah diketengahkan dalam filem Black Hawk Down iaitu misi membantu dan menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di dalam peperangan saudara di Somalia.

Pengarah Filem, Adrian Teh menyatakan beliau mempunyai visi untuk menghasilkan cerita berkenaan dengan penglibatan MALBATT dalam Perang Mogadishu kerana berpendapat misi tersebut adalah yang paling berjaya dan terkenal di peringkat antarabangsa berdasarkan sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pelbagai initiatif telah diambil selama tiga tahun untuk menyiapkan skrip MALBATT, antaranya menemubual lebih daripada 10 wira Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (19 RAMD (Mek)) supaya dapat memahami lebih mendalam berkait pengorbanan mereka, melaksanakan kajian secara atas talian, menonton Black Hawk Down dan mengolah skrip projek secara berulang kali dengan lesen kreatif,” jelas beliau.

Seterusnya, para hadirin dipertontonkan tayangan montaj sedutan filem ‘MALBATT: Misi Bakara’ dan sesi soal jawab bersama Pengarah Filem serta barisan pelakon yang terdiri daripada Adlin Aman Ramlie, Bront Palarae, Hairul Azreen, Shaheizy Sam dan ramai lagi.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Muhammad Haffizudeain Jantan, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali.

Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button