PUTRAJAYA: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas dedikasi, komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) Siri 50/2021 berjalan dengan lancar.
“Tahniah dan syabas kepada semua penuntut kerana berjaya meneruskan kursus sehingga ke penamatnya walaupun menghadapi pelbagai dugaan serta cabaran khususnya dalam situasi pandemik COVID-19.
“Pencapaian anda di sini merupakan satu mercu tanda dalam kerjaya dan semoga ianya menjadi penanda aras untuk meneruskan perkhidmatan dengan cemerlang di masa hadapan”, ujarnya.
PAT berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Graduasi dan Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) Siri 50/2021 bertempat di Auditorium Utama, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) pada 8 Dis 2021.
Tambah beliau lagi, majlis pada tahun ini adalah amat bermakna bersempena Jubli Emas 50 tahun penubuhan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) yang menyaksikan pelbagai perubahan dalam geostrategi global dan serantau sehingga menghasilkan satu siri evolusi untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
MTAT merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi ATM yang menyediakan pengajian profesional di peringkat Diploma Lepasan Ijazah kepada pegawai-pegawai berpangkat Mej atau setaraf daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM melalui KPSM.
Pengajian ini bertujuan untuk melengkapkan dan menyediakan pegawai ATM untuk menjawat jawatan pemerintah di pasukan, unit atau kapal dan sebagai pegawai staf yang berkhidmat di persekitaran bersama.
Terdahulu, seramai 163 penuntut kursus terdiri daripada 125 pegawai tentera dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), seorang pegawai masing-masing daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersama 36 pegawai luar negara menerima sijil Passed Staff College-Joint (psc-j) serta penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengajian Strategik dan Pertahanan.
Anugerah Lembaga MTAT kali ini dinobatkan kepada Mej Eugene Gnanaratchagar Gnanakkan dari Rejimen Artileri Diraja sebagai Penuntut Kursus Tempatan Terbaik Keseluruhan, manakala Penuntut Kursus Terbaik Luar Negara Keseluruhan disandang oleh Mej Prathap Nadaison Latchmanan dari Singapura.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Dr Anis Mahmud @ Abdul Samad.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi