KUALA LUMPUR: Defence Service Asia Exhibition and Conference (DSA) 2022 atau Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2022 merupakan pameran pertahanan dan keselamatan yang akan berlangsung selama empat hari bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
DSA 2022 membawa tema ‘Advancing into a New Era of Defence and Security’ merupakan acara dwitahunan yang kali terakhir diadakan pada tahun 2018 telah menarik lebih 1,000 penyertaan dari pelbagai syarikat keselamatan dalam dan luar negara.
Seramai 25,000 pengunjung termasuk delegasi 50 negara dijangka akan menghadiri serta memeriahkan lagi pameran DSA 2022 pada kali ini bermula pada 28 sehingga 31 Mac 2022.
Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media berkata, DSA dan NATSEC 2022 adalah satu perkara penting kepada negara kerana ia merupakan pameran antarabangsa pertama dan terbesar diadakan selepas pandemik COVID-19 melanda dunia.
“Penganjuran pameran ini menandakan peralihan negara ke fasa endemik dan kita telah mengambil langkah untuk maju ke hadapan.
“Ianya sekaligus memperkukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa yang ideal,” katanya.
Tambah beliau lagi, penganjuran pameran ini memberi isyarat bahawa Malaysia telah membuka pintu negara untuk menjalankan perniagaan.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin meluangkan masa meninjau persiapan pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 di MITEC pada 27 Mac 2022.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi