MINDEFMK TDSemasa

Rapatkan Barisan Agar TD Terus Kukuh Dan Cemerlang – PTD

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyeru semua lapisan pegawai dan anggota agar merapat dan memperkukuhkan barisan agar Tentera Darat terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam apa jua penugasan yang diamanahkan. 

PTD juga memaklumkan bahawa perkhidmatan sentiasa memikirkan inisiatif untuk menambah baik skim perkhidmatan sebagai penghargaan dan pengiktirafan di atas pencapaian warga TD. 

Antaranya, Skim Entry Point Diploma akan memberi peluang kepada anggota Lain-lain Pangkat (LLP) berkelulusan diploma menerima gaji setaraf kelayakan di mana sebelum ini insentif berkenaan hanya dinikmati oleh mereka yang memiliki diploma perubatan, kejuruteraan, pendidikan dan agama sahaja,” ujar PTD. 

Demikian sebahagian ucapan PTD sempena Perbarisan Markas Tentera Darat (MK TD) anjuran Jabatan Arah Rejimen Semboyan Diraja (Jab RSD) di Padang Kawad Kem KEMENTAH pada 10 Nov 2022.

Perbarisan berkonsep statik ini terdiri daripada 380 pegawai dan 520 anggota LLP dari Bahagian, Cawangan dan Jabatan Arah (BCJ) MK TD.

Terdahulu, perbarisan dimulakan dengan nyanyian lagu Gagah Setia dan diikuti acara pemakaian pangkat seramai tujuh anggota LLP yang disempurnakan oleh PTD.

Majlis diteruskan dengan Penyampaian Kotak Rezeki sumbangan Syarikat Bousted Holding Bhd untuk diagihkan kepada anggota TD yang memerlukan.

Wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyampaikan sumbangan komputer riba untuk dianugerahkan kepada anak-anak warga TD yang cemerlang dalam akademik. 

Aktiviti perbarisan seumpama ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

Turut hadir, Timbalan PTD, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf Markas TD, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan MK TD.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button