MELAKA: Seramai 40 peserta dan 15 fasilitator di bawah formasi Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) terlibat dalam Program Dinamik Insani (PDI) Siri 1/2022 yang dirasmikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bertempat di Tanjung Bidara pada 24 Mei 2022.
PDI ini merupakan salah satu program tumpuan Tentera Darat (TD) yang bertujuan untuk memupuk sikap tanggungjawab terhadap tugas dan cintakan keluarga di samping menerapkan nilai-nilai Islam berteraskan ‘amar makruf, nahi mungkar’.
Dalam ucapan TPTD, beliau berharap agar program ini dapat memberikan impak yang besar kepada setiap anggota yang menyertainya dan membantu organisasi TD membentuk sebuah ketumbukan yang disegani bukan sahaja dari segi fizikal, malah merangkumi nilai-nilai murni kerohanian.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali kepada TPTD sebagai tanda penghargaan di atas kesudian menyempurnakan perasmian program.
Pelaksanaan aktiviti seumpama ini mendukung Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dan seiring dengan tema Hari TD Ke-89 iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’.
Turut hadir, Pemangku Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Brig Jen Mohamad Suria Mohamad Saad.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime