PUTRAJAYA: Seramai 57 pegawai dan 847 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM di Dataran Pahlawan Negara pada 10 Jun 2022.
Ketibaan baginda disambut oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, kemudian menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan diiringi alunan lagu Negaraku dari Pancaragam Gabungan Pusat ATM lalu disusuli 21 das tembakan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (41 Bti RAD).
Serentak dengan itu, turut diperagakan terbang lintas hormat lima buah helikopter ATM yang membawa bendera Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di ruang udara Dataran Pahlawan Negara.
Baginda yang berkenan mencemar duli berangkat ke istiadat perbarisan tersebut dipersembahkan dengan perarakan lima Panji-Panji terdiri daripada Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), TLDM dan TUDM.
Terdahulu, acara perbarisan dimulai oleh Pancaragam Gabungan Pusat ATM yang diketuai oleh Mej Muhamad Nor Azizan Yahya sebagai pembuka medan dan disusuli oleh detasmen RAMD, KAD, RRD, TLDM dan TUDM.
Seterusnya, baginda memeriksa kontinjen perbarisan sebelum mengambil tempat untuk menyaksikan acara Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat serta laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali oleh perbarisan kawalan kehormatan pada penghujung istiadat.
Istiadat ini merupakan manifestasi sembah ikrar taat setia seluruh warga ATM kepada baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM sebagai satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat serta ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi ATM terhadap raja dan negara.
Ianya julung kali dilaksanakan setelah tertangguh selama dua tahun akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun 2020.
Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Saifun Hakimi Zainon