PERLIS: 14 tahun penubuhan Rejimen Sempadan (RS), tanggal 11 Ogos melakar sejarah dengan penstrukturan semula Batalion Rejimen Sempadan (BRS) sebagai Batalion Infantri Standard (BIS).
“Selari dengan Pelan Pembangunan Keupayaan Tentera Darat (TD) dalam Army4NextG, TD akan terus menaik taraf kemudahan infrastruktur dari semasa ke semasa bagi meningkatkan pengoperasian dan kesediaan keupayaan RS.
“RS kini adalah setaraf dengan Batalion Infantri yang lain dan tidak lagi dikategorikan sebagai kelas kedua,” ujar PTD dalam ucapannya.
PTD berkata demikian semasa Pengisytiharaan BRS sebagai BIS yang disempurnakan di Padang Kawad Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia (MK 30 Bgd) pada 11 Ogos 2022.
Terdahulu, acara dimulakan dengan deklamasi sajak yang disampaikan oleh Kapt Muhd Farihan Muhayyidin yang berkisarkan perjalanan perjuangan serta pencapaian RS.
Majlis diteruskan dengan gimik pelancaran simulasi letupan diiringi dengan lima pembawa bendera yang mewakili setiap kompeni dalam RS, sebelum PTD menandatangani plat sebagai simbolik perasmian.
Bersempena dengan acara bersejarah ini, turut diadakan Majlis Pemakaian Pangkat Perdana melibatkan seramai 611 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang disempurnakan oleh PTD dan pegawai-pegawai kanan infantri.
Seterusnya, PTD berbesar hati menyampaikan sumbangan kebajikan kepada empat anggota RS iaitu Kpl Mohd Mazwan Lahi dari Batalion Ketiga Rejimen Sempadan (3 RS), Kpl Trinity Kumbung Akong dari 4 RS, Kpl Mohd Sharizal Mat Yamin dari 5 RS dan Kpl Abdul Hairun Ipi dari Skuadron Semboyan Briged Ke-30 Infantri (30 SSB).
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat , Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad bersama isteri dan pegawai-pegawai kanan TD yang lain.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Riffat Mohd Yusof