KEDAH: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain sangat menitikberatkan kebajikan warga Tentera Darat (TD) agar Tonggak Ketiga Perintah Ulungnya dapat direalisasikan dari semasa ke semasa.
“TD akan sentiasa komited menghulurkan bantuan dalam apa jua aspek bagi mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh anggota yang memerlukan.
“Setiap anggota TD turut dinasihatkan untuk mengekalkan tahap disiplin kendiri yang tinggi dengan mengelakkan diri daripada terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan judi atas talian selain turut melibatkan diri dalam program keagamaan dan kerohanian yang dianjurkan pasukan,” ujar PTD.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Program Kesejahteraan Warga TD Kem Lapangan Terbang di Dewan Zainal SP pada 1 Sep 2022.
Terdahulu, ketibaan PTD di perkarangan dewan disambut oleh Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Bgd), Brig Jen Dato’ Mohd Akib Hj Yusof.
Kemudian, PTD meluangkan masa menyantuni warga TD Kem Lapangan Terbang dan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada tiga individu melibatkan anggota, ahli keluarga serta veteran yang mengalami komplikasi kesihatan.
Penerima sumbangan didahului oleh Sjn Mohamad Khairul Nizam Mohamad Rejab, 38 dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) yang menghidap penyakit saluran darah di bahagian jantung tersumbat pada 27 Mac 2019. Beliau masih menunggu kelulusan permohonan pembiayaan kos alatan perubatan Drug Eluting Stent.
Seterusnya, isteri kepada Kpl Mohd Afizul Md Jizan dari Batalion Pertama Rejimen 513 Askar Wataniah iaitu Puan Rohani Hamid, 40 yang menjalani pembedahan membuang rahim akibat mengalami masalah saluran sempit pada jantung dan hidung. Beliau masih menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) secara berkala bagi tempoh tiga bulan sekali.
Penerima sumbangan terakhir ialah veteran TD, Kpl Ramli Shaari (B), 69 yang mengalami serangan jantung serta lumpuh sepenuhnya sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda dan beliau masih menerima rawatan susulan di HSAH secara berkala.
Lawatan ini selaras dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang menumpukan aspek kebajikan anggota dan keluarga TD.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Hj Muhammad Huzaimi Sabre, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul.
#KesejahteraanWargaTD