JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyambut kedatangan Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika perasmian Majlis Penutup Karnival Tentera Darat (TD) Tahun 2022 di Stadium Mini Taman Sri Lambak, Kluang pada 9 Okt 2022.
“Anggota TD merupakan antara barisan hadapan yang memainkan peranan utama dalam menjaga kepentingan masyarakat.
“Keadaan ini dapat dibuktikan apabila sebilangan besar anggota TD diatur gerak bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah baru-baru ini dengan membina jambatan Bailey.
“Selain itu, TD turut membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mewujudkan Combat Medic Vaccination Team, Vaksinasi Pandu Lalu, Pengoperasian Hospital Medan, Greater Klang Valley Task Force dan Penerbangan Batuan TUDM dalam memerangi penularan COVID-19,” ujar Menteri Kanan Pertahanan.
Tambahnya lagi, Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM17.37 bilion untuk tahun 2023 yang akan memfokuskan kepada pengukuhan keselamatan dan menambah baik dari segi kebajikan warga pertahanan.
Karnival TD ini telah belangsung selama tiga hari iaitu bermula dari 7 hingga 9 Okt 2022 dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik buat para pengunjung seperti pameran aset ketenteraan, demonstrasi keupayaan TD, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, sukan serta promosi kerjaya.
Perasmian Majlis Penutup Karnival TD ini berakhir dengan gimik Rancangan Kontigensi (RANKON) yang mempamerkan kepelbagaian dan kepakaran melibatkan semua Kor TD bagi menguji formasi dan pasukan mengenai prosedur atau tatacara memanggil balik anggota untuk berkumpul di pasukan masing-masing.
Pelaksanaan karnival ini dilihat sejajar dengan Teras Keempat Pelan Strategik MINDEF (PSM) Tahun 2021-2025 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) serta memenuhi Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abdul Aziz, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir
#PelanStrategikMindef