PAHANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengiringi Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam Majlis Penyerahan Aset Banjir berupa lima unit 1 Tan 4×4 jenis GS CARGO dan empat unit bot jenis Maldone Assault Boat 530v kepada Panglima Briged Keempat Infantri Malaysia Mekanize (4 Bgd (Mek)), Brig Jen Dato’ Zahari Mohd Ariffin di Pangkalan Udara, Kuantan pada 18 Okt 2022.
Pertemuan ketiga-tiga pemimpin tertinggi berikut menjadi sebahagian daripada persiapan serta kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi bencana banjir yang dijangka akan berlaku pada bulan Nov 2022 di seluruh negara terutama di 5,496 lokasi hotspot banjir yang sudah dikenalpasti termasuk Sabah dan Sarawak.
Persiapan ini dilihat penting bagi membolehkan ATM mengatur gerak anggota dan aset-asetnya pada sebilang masa dalam membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa agensi lain yang terlibat.
Antara persiapan ATM menerusi Op MURNI adalah lebih memfokuskan kepada pasukan perubatan ATM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bantuan pesawat udara ATM, kesiagaan hospital, pusat perubatan ATM, hospital medan, operasi menghantar barang keperluan PPS dan kawasan terputus hubungan dengan bandar utama melalui jalan darat.
Kira-kira seramai 782 pegawai dan 15,830 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) sedang bersedia untuk diatur gerak pada sebilang masa dalam penugasan Op MURNI.
Bagi penugasan aset yang lain pula melibatkan aset-aset perairan dan darat seperti 771 unit trak 3 tan, 304 unit trak 1 tan, 14 unit trak 5 tan, 13 unit trak 7 tan, 251 unit bot, 295 unit enjin bot dan 5,573 jaket keselamatan.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM, Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Indera Hj Yazid Hj Arshad TUDM dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi