NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang mana ianya merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis.
PTD juga menegaskan bahawa keamanan dan kaharmonian yang dinikmati oleh generasi hari ini tidak akan dapat dicapai tanpa perjuangan perwira-perwira terdahulu.
Beliau berharap agar para veteran yang masih berupaya mencurahkan bakti dapat terus memberi tunjuk ajar, nasihat dan pedoman kepada generasi muda.
Demikian sebahagian ucapan PTD semasa menyempurnakan Majlis Penganugerahan PJM kepada 473 orang veteran yang diadakan di Auditorium Sebatang Karah, Kem Segenting, Port Dickson pada 6 Nov 2022.
PJM ini dikurniakan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pernah berkhidmat bagi tempoh mulai 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989, terlibat operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau sehingga 17 Okt 1990, memerangi Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, PTD menerima Sumbangan Kotak Rezeki yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan BHB, Encik Izaddeen Daud di Dewan Makan Wisma Perwira Sunset.
Sejumlah 20,000 Kotak Rezeki barangan keperluan asas telah disumbangkan bagi membantu meringankan beban kehidupan anggota, veteran dan keluarga ATM.
Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Mej Jen Zambery Jefry Hj Darus dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir