Bersama PemimpinSemasaTentera Bersama Rakyat

D’ Semenggos Mengungguli Battle of the Bands

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha menyaksikan Pertandingan Battle of the Bands Peringkat Tentera Darat (TD) Tahun 2022 di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson pada 6 Nov 2022.

Pelaksanaan pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat dan kebolehan anggota TD dalam bidang muzik seterusnya memberi peluang kepada anggota untuk mendapatkan pengalaman mewakili perkhidmatan.

Terdahulu, ketibaan PTD disambut oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim sebelum menyempurnakan gimik perasmian dengan meletakkan gitar di atas podium dan memetik tali gitar.

Sebanyak 10 kugiran daripada kor dan formasi TD mengambil bahagian di mana setiap kumpulan mempertandingkan dua kategori lagu iaitu lagu bertema patriotik dan bebas.

Johan kategori Formasi TD dirangkul oleh D’ Absolute Green dari Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div), diikuti naib johan N’ Separang dari 5 Div manakala tempat ketiga jatuh kepada Parawood dari Markas Briged Ke-10 (Para).

Seterusnya, johan bagi kategori Kor pula dinobatkan kepada D’ Semenggos dari Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) yang turut mengungguli persembahan lagu patriotik terbaik, manakala naib johan disandang oleh D’ Aswa dari Rejimen Askar Wataniah dan tempat ketiga diraih D’ Electras dari Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD).

Penganjuran acara di lokasi tumpuan umum serta liputan oleh pihak media Negeri Sembilan turut menjadikan program seumpama ini juga seiring dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam.

Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.

Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button