NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengekalkan tema bagi Hari Tentera Darat (HTD) Ke-90 iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ sesuai dengan konsep kerajaan madani oleh kerajaan persekutuan yang menumpukan kepada aspek kesejahteraan insan.
PTD berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran sambutan HTD Ke-90 di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 13 Feb 2023.
HTD pada tahun ini disambut dengan lebih bermakna kerana simbolik angka 90 adalah merupakan nombor tentera pejuang tersohor tanah air iaitu Lt Adnan Saidi.
Perkara-perkara yang menjadi keutamaan warga pertahanan pada tahun 2023 melibatkan keseluruhan Tonggak Perintah Ulung PTD Ke-28 termasuk pembangunan sains, teknologi dan industri pertahanan.
Berdasarkan pencapaian lepas dan keperluan akan datang, PTD akan memastikan kesejahteraan dan kebajikan warga TD serta golongan veteran akan terus dipelihara.
TD juga akan memberi komitmen dalam membantu kerajaan dan rakyat melalui pendekatan Civil-Military Cooperation (CIMIC) demi meningkatkan keyakinan dan pengiktirafan terhadap organisasi TD, sekaligus usaha meningkatkan kesiagaan serta keupayaan TD akan diberi keutamaan dari semasa ke semasa.
Berbalik kepada sambutan HTD Ke-90, antara acara utama yang dirancang adalah perbarisan dan pembacaan perutusan HTD, persembahan TATU, karnival terbuka, ceramah Israk dan Mikraj, majlis bacaan Yasin dan Tahlil, khutbah khas solat Jumaat, Majlis Ramah Mesra Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) bersama keluarga MALBATT 850-10 serta Forum Perdana.
Selain itu, beberapa program sampingan berbentuk kemasyarakatan seperti Program Derma Darah Perdana, Program Jiwa Murni dan Acara Menembak Bersama Media akan turut dilaksanakan.
Selepas selesai acara pelancaran, PTD berkesempatan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada seorang pegawai dan 21 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada golongan asnaf serta waris yang mengalami masalah kesihatan.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Shafirin Mohd Razi