KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM meraikan mantan-mantan pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Majlis Meraikan Mantan PAT dan Mantan Panglima Perkhidmatan sempena Hari ATM Ke-89 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 13 Mac 2023.
“Hasil kebijaksanaan kepimpinan pemimpin-pemimpin terdahulu telah membawa kepada penerbitan dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 bagi menjelaskan perancangan strategi ketenteraan secara holistik dan inklusif agar angkatan ini mendapat kelebihan strategik dalam apa jua keadaan,” ujar PAT.
Beliau berkata demikian bagi memperingati jasa dan kerja keras para pemimpin yang berterusan berganding bahu dalam memastikan ketumbukan angkatan ini terus unggul sebagai perisai kedaulatan negara.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghormatan kepada mantan-mantan PAT dan panglima-panglima perkhidmatan atas segala jasa, sumbangan, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada organisasi.
Majlis kemudian diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh PAT dan isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hjh Tengku Muhaini Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Rahman Ayob, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf ATM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein