KUALA LUMPUR: Majlis Hari Raya Aidilfitri Peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2023 bertemakan suasana beraya di bandar disambut meriah dengan kehadiran kira-kira seramai 3,000 orang warga ATM, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan veteran ATM bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 10 Mei 2023.
Sempena majlis ini, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hjh Tengku Muhaini Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM menyampaikan sumbangan kepada 43 pegawai dan anggota cedera serta 90 pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim (STAY) ATM.
Terdahulu, ketibaan anggota cedera dan pelajar STAY ATM disambut oleh PAT dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman di lobi Wisma Perwira ATM.
Pelaksanaan majlis ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai kanan, pegawai dan anggota ATM yang masih berkhidmat mahupun sudah bersara.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, mantan panglima-panglima perkhidmatan dan Atase-atase Pertahanan.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi