KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan meraikan perbarisan penghargaan sempena persaraan mantan Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan, Mej Jen Dato’ Johari Mohd Jaafar di Dataran Panglima Tentera Darat pada 10 Mei 2023.
“Mej Jen Dato’ Johari Mohd Jaafar telah mendedikasikan seluruh masa, tenaga dan keringat dengan penuh kecekalan demi kepentingan perkhidmatan serta memiliki sifat kepimpinan yang amat membanggakan.
“Ketokohan dan kredibiliti yang beliau pamerkan wajar diteladani oleh barisan pemimpin yang lain,” ujar TPTD.
Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat Jalan ini terdiri daripada empat detasmen berkekuatan seramai 16 pegawai dan 271 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dengan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.
Mej Jen Dato’ Johari Mohd Jaafar mula menceburi dalam bidang ketenteraan sebagai Pegawai Kadet Tauliah Jangka Tetap di Maktab Tentera Diraja pada 1 Jul 1981 dan ditauliahkan sebagai Lt M dalam RAMD pada 9 Jun 1983 di Kem Lok Kawi, Sabah.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menjawat beberapa jawatan penting seperti Penasihat Ketenteraan di Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan, Pengarah di Sekretariat MK TD, Pengarah Rancang dan Pembangunan di Bahagian Pasukan Simpanan MK TD dan berakhir sebagai Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan.
Sejurus selesai perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati dan jamuan makan di Dewan Makan 1 RAMD sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan terakhir terhadap Mej Jen Dato’ Johari Mohd Jaafar.
Turut hadir, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Anuar Abdul Wahab, Panglima Briged Ke-12 Infantri Malaysia, Brig Jen Sani S. Omar, Pengarah Infantri, Brig Jen Mohd Zaini Hj Hashim dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir