NEGERI SEMBILAN: Pengerusi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Dato’ Hj Mohd Rashidi Bujai menyeru seluruh warga KAGAT agar mempunyai kesatuan fikiran (Wehdatul Fikri) dan kesepaduan tindakan (Wehdatul ‘Amal) untuk merealisasikan tiga kepentingan utama iaitu dakwah dan islah, tarbiyyah islami serta perjuangan memuliakan islam bagi seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Setiap peringkat pemerintahan hendaklah membahaskan kepentingan Wehdatul Fikri Wal ‘Amal menerusi medium usrah, kursus, kolokium, seminar atau sebagainya dengan disusuli laporan secara bertulis kepada Cawangan Operasi Jabatan Arah KAGAT.
“Selain itu, sekalian warga perlu menitikberatkan elemen keberkesanan perkhidmatan kerohanian dalam ATM serta memperkukuhkan pembangunan sumber manusia yang inklusif, holistik dan profesionalisme demi mencapai dua teras utama dalam Pelan Strategik KAGAT 2021-2025 iaitu Pemantapan Kerohanian dan Keutuhan Organisasi,” jelas Pengerusi KAGAT.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan sempena Sambutan Hari KAGAT Ke-38 di Padang Kawad, Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI) ATM pada 12 Mei 2023.
Terdahulu, Pengerusi KAGAT menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan berkekuatan seramai sembilan pegawai dan 67 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Ahmad Basri Abdullah diiringi pancaragam dari brassband Rejimen Kedua Kor Amor Diraja (2 KAD).
Perbarisan kemudian diteruskan dengan penyampaian Sijil Kepujian dan Anugerah Khas Pengerusi Kor sebelum diakhiri dengan jamuan makan serta Majlis Pemakaian Pangkat melibatkan dua pegawai dan tujuh anggota LLP di Dewan Makan ILMI.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kor 2 KAGAT, Brig Jen Zainal Abidin Mohamed Salleh, Timbalan Pengerusi Kor 3 KAGAT, Brig Jen Dato’ Ab Jabar Mohamad Aris dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir