KEDAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencemar duli melawat Pameran Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA ‘23) bersama Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) pada 24 Mei 2023.
Ketibaan baginda disambut oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
Baginda bersama Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi berkenan melawat Gading Marine Fast Inspector Craft G200 MKII dan reruai syarikat aeroangkasa tempatan serta menyaksikan pertunjukan udara dari pelbagai negara termasuk pasukan aerobatik United Arab Emirates (UAE), Al-Fursan.
Penampilan Al-Fursan (The Knights) yang ditubuhkan pada awal tahun 2010 mempersembahkan formasi tujuh pesawat jurulatih jet Aermacchi MB339A.
Lawatan khas Putera Abu Dhabi ini jelas akan mengukuhkan lagi hubungan baik dengan negara Malaysia yang dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 Sep 2022.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir