KEDAH: Ribuan pengunjung membanjiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) untuk melihat dengan lebih dekat aset-aset ketenteraan berserta pertunjukan udara oleh pasukan aerobatik terkemuka dunia di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) dan segmen maritim di Resorts World Langkawi (RWL).
Pameran LIMA ’23 dimeriahkan dengan kira-kira seramai 150 ribu pengunjung bermula dari 23 hingga 27 Mei 2023 sekaligus menjadi sejarah penganjuran terbesar semenjak ianya diadakan pada tahun 1991.
Selain itu, pameran yang mencatat edisi ke-16 ini dilihat paling berjaya apabila menarik penyertaan tertinggi melibatkan 525 pempamer dari syarikat tempatan dan luar negara.
Terdahulu, Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyempurnakan Majlis Penutup Sempena Pameran LIMA ‘23 di Lobi Utama, MIEC pada 27 Mei 2023.
“LIMA 2025 dijangka mampu menarik lebih banyak penyertaan dari dalam dan luar negara meskipun kita berhadapan dengan kekangan logistik bagi menyediakan lokasi pameran.
“Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) disarankan untuk memperluas ruang pameran di MIEC bagi memudahkan urus niaga syarikat,” ujar MENHAN.
Pameran ini diserikan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan pencetus LIMA edisi pertama pada tahun 1991.
Beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi Anugerah Maritim dan Aeroangkasa Global IBR 2023 di MIEC pada 26 Mei 2023 dimana anugerah berkenaan julung kali diadakan dan diberikan kepada individu yang berdedikasi dalam mempromosikan industri aeroangkasa dan maritim.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir