KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bakal mengakhiri tanggungjawabnya sebagai PTD selama lebih kurang enam bulan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain pada 22 Mac 2023 yang lalu.
PTD menyeru kepada seluruh warga Tentera Darat (TD) untuk terus merapatkan barisan dan berkhidmat sebagai sebuah ketumbukan dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap barisan kepimpinan.
Pesanan tersebut disampaikan semasa Istiadat Perbarisan Penghargaan PTD Ke-29 yang berkekuatan seramai 46 pegawai dan 1,110 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berserta tujuh panji-panji Rejimen dan Kor dalam TD di Dataran PTD pada 5 Sep 2023.
Menelusuri latar belakang PTD, beliau ditauliahkan pada 1 Jul 1987 dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan menjawat jawatan sebagai Ketua Platun di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).
Sepanjang perkhidmatannya, beliau menyandang pelbagai jawatan penting seperti Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan (AKS P&P) Markas Tentera Darat (MK TD), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Panglima Latihan Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) dan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD).
Istiadat Perbarisan Penghargaan PTD Ke-29 yang berlangsung ini menandakan pucuk pimpinan tertinggi TD bakal berubah dengan menyaksikan penyerahan tugas dan tanggungjawab PTD kepada TPTD, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan selaku PTD Ke-30.
Hadir sama, PMB TD, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Saiful Hakimi Zainon.