MELAKA: Selepas 38 tahun mencurah bakti dalam memastikan Tentera Darat (TD) terus ke hadapan, mantan Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail diraikan dalam perbarisan penghargaan sempena persaraan beliau di Padang Kawad Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (9 RAMD (Para)) pada 11 Mac 2024.
Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti, jasa, pengorbanan serta dedikasi yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan khususnya di dalam TD.
“Beliau banyak menyumbangkan tenaga dan buah fikiran, rancang dan menguruskan TD dengan cemerlang,” ujar TPTD.
Perbarisan berkonsepkan Perbarisan Tempur Pesawat atau Leading Para Battle Group ini melibatkan 32 pegawai dan 654 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dengan diiringi Pancaragam Gabungan 10 Briged (Para).
Karier beliau bermula selepas menyertai TD pada 1 Mac 1985 dan mengikuti latihan Pegawai Kadet di Sekolah Pegawai Kadet, Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan selama setahun dan ditauliahkan sebagai Lt M ke dalam RAMD pada 8 Mac 1986.
Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail pernah berkhidmat dalam beberapa Misi Pengaman Antarabangsa antaranya di Namibia (Kontinjen Afrika) di bawah naungan United Transition Assistance Group (UNTAG) pada tahun 1989, Komander bagi Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada tahun 2012 Ketua Misi, Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao Ke-16 di Filipina pada tahun 2021.
Di samping itu, beliau telah menyandang pelbagai jawatan tinggi dalam pentadbiran antaranya Panglima di Markas Briged Ke-13 ESSCOM, Pengarah di Jabatanarah Infantri, MK TD, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan di MK TD dan jawatan terakhir sebagai AP PS.
Hobi Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail adalah bersukan, membaca buku-buku ilmiah dan melaksanakan terjunan bebas.
Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Rosmina Hj Mohd Rodzi serta dikurniakan dua orang cahaya mata.
Seterusnya, majlis disusuli dengan jamuan makan serta penyampaian cenderahati sebelum diakhiri dengan acara Street Lining sebagai simbolik penghargaan kepada Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima 10 Briged (Para), Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin dan Pengarah Infantri MK TD, Brig Jen Saiful Bahari Zainol.
Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi & LKpl Mohammad Fadzil Akirul