KUALA LUMPUR: Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) meraikan ulang tahun penubuhannya ke-71 setelah melalui pelbagai transformasi dan kini melangkah dengan hala tuju baharu yang lebih mantap selepas merangka tujuh teras strategik dan lapan inisiatif utama yang dilancarkan pada tahun 2023 bagi meningkatkan keupayaan serta kompetensi warganya.
Pengerusi KPTD, Brig Jen Abd Wahab Geoh dalam perutusannya berkata, sebagai sebuah kor yang kecil, sokongan daripada pihak atasan serta komuniti berpengaruh sangat diperlukan untuk memajukan KPTD.
“Program seperti Dinner Talk dan Makan Malam Bersama Panglima Tentera Darat (PTD) menjadi inisiatif penting untuk memperkukuhkan hubungan ini.
“Dalam tempoh 71 tahun, KPTD telah mencapai pelbagai kejayaan gemilang termasuk penubuhan pasukan baharu, latihan bersama pasukan United States Military Police serta penerbitan 24 manual tugas.
“Kejayaan ini disusuli dengan pencapaian dalam arena sukan seperti menjuarai Pertandingan Bola Sepak Antara Kor/Rejimen pada tahun 2022 serta penganjuran TATU Tentera Darat (TD) pada tahun 2023,” jelas Pengerusi KPTD ketika menyampaikan perutusannya dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KPTD Ke-71 di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) pada 12 Nov 2024.
Tambahnya lagi, tahun ini menyaksikan perolehan aset baharu termasuk kenderaan peronda, motosikal penguatkuasa dan peralatan keselamatan yang semakin memperkukuh keupayaan operasi kor ini.
“Tidak ketinggalan, kejayaan warga KPTD dalam pelbagai bidang turut mengharumkan nama kor, seperti kejayaan dalam sukan silat, taekwondo dan acara persembahan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” jelasnya.
Terdahulu, Pengerusi KPTD menerima tabik hormat daripada perbarisan berkekuatan seramai 15 pegawai dan 187 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Staf 1 Jabatan Arah KPTD, Lt Kol Mohd Yus Maizan Yaakub.
Perbarisan HUT Ke-71 diserikan dengan penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) Pertama, Pemakaian Pangkat Anggota LLP serta penyampaian Anugerah KPTD Tahun 2024 dan Anugerah Pegawai dan Anggota Terbaik KPTD Tahun 2024.
Acara diteruskan dengan pertunjukan Tempur Tanpa Senjata (TTS) dan persembahan menarik dari Tim Akrobatik Army Red Warrior yang memeriahkan lagi suasana.
Seusai acara perbarisan, majlis diserikan lagi dengan sesi potong kek ulang tahun, pelancaran Buku Sejarah dan Coffee Table Book sebagai simbol penghargaan terhadap perjalanan kor ini.
Turut hadir, Provos Marsyal TD, Brig Jen Muhammad Rafi Abdul Kadir dan Pengarah Undang-Undang, Brig Jen Kol Noor Hishmuddian Rahim.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein dan Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir