PERAK: Eksesais KERIS STRIKE Siri 30/2025 melibatkan kerjasama antara Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Darat Amerika Syarikat (US Army) dan Tentera Darat Australia telah melabuhkan tirainya dengan mempamerkan demonstrasi serangan akhir yang mantap di Ladang Ayer Kala, Lenggong pada 29 Jul 2025.
Latihan medan ini memberi tumpuan kepada peningkatan tahap kesiapsiagaan tempur dan kebolehoperasian bersama (interoperability) dalam konteks peperangan konvensional.
Pasukan infantri yang terdiri daripada Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD), 9 RRD, 1st Battalion, 27th Infantry Regiment (USARPAC) serta 2nd/30th Australian Rifle Company Butterworth telah diatur gerak bagi melaksanakan serangan secara bersepadu ke atas kedudukan musuh.
Latihan ini menguji keupayaan koordinasi dalam tembakan perlindungan, kawalan medan tempur serta pelaksanaan taktik gerakan dan tembakan secara sistematik.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan hadir menyaksikan serangan akhir yang dijalankan secara bersepadu oleh ketiga-tiga negara di mana keupayaan tempur pelbagai aset dan elemen infantri digerakkan dalam persekitaran medan sebenar.
PTD menegaskan bahawa eksesais ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan taktikal dan ketahanan fizikal anggota, malah turut mengukuhkan hubungan diplomatik dan ketenteraan antara ketiga-tiga negara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota yang telah menunjukkan disiplin, profesionalisme dan semangat kerjasama sepanjang tempoh eksesais yang berlangsung sejak 17 Jul 2025.
Acara penutup turut menyaksikan PTD menyempurnakan penanggalan Toha sebagai simbolik penutupan rasmi eksesais, sebelum diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan sesi bergambar.
Eksesais KERIS STRIKE akan terus menjadi platform penting dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan TDM selain menjadi landasan perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam kalangan angkatan tentera pelbagai negara.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar, Head of Military Personnel Division Australian Defence Force, Maj Gen Wade Stothart dan Director of the Joint Staff Oklahoma National Guard, Brig Gen Colby B. Wyatt.
Gambar: LKpl Muhammad Nor Akram Halib