Bersama PemimpinHUT

56 Tahun KRD Terus Unggul

PAHANG: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Dato’ Mohd Razali Alias menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kejayaan kor mengekalkan keutuhan dan kewibawaan sepanjang 56 tahun penubuhannya.

“Sambutan ini bukan sekadar memperingati tarikh penubuhan, tetapi menjadi wadah untuk mengenang jasa dan pengorbanan para perintis serta warga KRD yang telah meletakkan asas kukuh kepada apa yang kita kecapi hari ini,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kol Yang Dipertua KRD, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Muhammad V atas sokongan dan keprihatinan berterusan baginda terhadap kor serta kepada para veteran dan ahli Kelab Veteran Risik Malaysia (KVRM) yang terus memainkan peranan penting menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam memperkukuh organisasi.

“Sumbangan dan bimbingan para veteran amat bernilai dalam membentuk generasi pelapis yang berdaya saing dan berwibawa,” tambah beliau.

Dalam menyentuh cabaran semasa, KPPP menegaskan bahawa dunia perisikan kini berdepan ancaman siber, kecerdasan buatan (AI), manipulasi maklumat serta konflik hibrid yang semakin kompleks.

Sehubungan itu, warga KRD diseru agar terus berinovasi dan memperkukuh keupayaan dalam bidang cyber intelligence, counter-intelligence serta strategic intelligence sejajar dengan Strategi Perisikan Pertahanan (I55) dan Angkatan Masa Hadapan – Domain Daratan (AMH-D²).

“Warga KRD perlu berdisiplin, berdaya fikir analitik dan memiliki mentaliti kelas pertama bagi mendepani cabaran masa hadapan. Semangat Pintar dan Cergas mesti terus disemai sebagai teras kecemerlangan,” tegasnya.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru seluruh warga KRD agar terus berpadu tenaga dalam memperkukuh keupayaan perisikan negara.

“Perjalanan kita untuk memperkukuh keupayaan perisikan adalah usaha bersama yang didukung dengan komitmen, inovasi dan semangat juang yang tidak berbelah bahagi,” jelas beliau semasa menyampaikan ucapan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KRD Ke-56 bertempat di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 7 Nov 2025.

Terdahulu, ketibaan KPPP disambut oleh Pengarah KRD, Brig Jen Noor Esjuraimey Hj Baharan lalu menerima tabik hormat daripada Ketua Perbarisan, Pegawai Memerintah 91 Grup Operasi Perisikan (91 GOP), Lt Kol Mohd Fizree Salim.

Seramai 18 pegawai dan 186 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) KRD melibatkan lima detasmen terlibat dalam perbarisan berjalan lalu yang diiringi oleh Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (KAD) di bawah pimpinan PW I Madzain Medal.

Bagi menghargai kecemerlangan warga KRD, KPPP turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan KRD kepada dua pegawai dan enam anggota LLP yang menunjukkan prestasi cemerlang serta memperolehi pencapaian yang membanggakan dalam kategori Anugerah Kecemerlangan Kursus di dalam dan luar KP ATM dan Anugerah Kecemerlangan Penglibatan Sukan.

Turut hadir, Timbalan KPPP, Mej Jen Dato’ Saharudin Harun, Pengarah Perisikan Strategik MDIO, Mej Jen Dato’ Mohammad Fauzi Abdul Majid, Pegawai Kanan KRD dan veteran KVRM.

Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir, Pbt Nanatasha Ngadan & Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online