HUT

HUT Ke-73: RSD Kukuhkan Nadi Komunikasi TD

KUALA LUMPUR: Pengerusi Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Brig Jen Dato’ Dr. Adnan Ajis menegaskan bahawa sambutan ulang tahun RSD bukan sekadar acara tradisi, tetapi wadah untuk memperbaharui semangat, ikrar dan iltizam seluruh warga dalam memperkukuh peranan rejimen sebagai nadi komunikasi Tentera Darat (TD).

Perkara tersebut dizahirkan dalam perutusan beliau sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) RSD Ke-73 yang berlangsung di Padang Kawad Cawangan Rejimental, Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) pada 15 Nov 2025.

Menurut beliau, kerajaan turut menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan anggota melalui pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Kenaikan gaji keseluruhan sebanyak 15 peratus serta pengenalan Insentif Berasaskan Prestasi membuktikan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan warga ATM,” ujarnya.

Pengerusi RSD turut menekankan peranan rejimen untuk terus menerajui pembentukan Angkatan Masa Hadapan (AMH) menerusi pendekatan konsep Man, Machine dan Method (3M).

“RSD mesti melahirkan anggota yang menguasai bidang Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) dan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI), selain memodenkan aset komunikasi bagi memenuhi keperluan operasi masa hadapan,” katanya lagi.

Beliau menambah bahawa pembangunan Cyber Electromagnetic Activities (CEMA) kini menjadi fokus strategik RSD dalam memperkukuh kesiapsiagaan TD merangkumi peningkatan kesiagaan komunikasi, perolehan sistem siber serta pembangunan keupayaan penuh peperangan elektronik menjelang RMK-15.

Terdahulu, Pengerusi RSD menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada empat detasmen melibatkan seramai 15 pegawai dan 257 anggota LLP yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Firdaus Desa dari Skuadron Semboyan Briged Kedua Infantri dengan diiringi Brassband Wanita RSD dan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat ini turut menyaksikan penyampaian Sijil Kepujian dan Pingat Perkhidmatan kepada 21 penerima daripada kalangan tentera dan awam yang telah mempamerkan kecemerlangan.

Usai perbarisan, sambutan diteruskan dengan acara memotong kek HUT dan jamuan makan sebelum Pengerusi RSD beredar meninggalkan majlis.

Turut hadir, Pengarah Kanan Operasi Strategi dan Pembangunan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan, Brig Jen Ts. Hamidi Achin, Pengarah Peperangan Informasi Malaysian Defence Intelligence Organization, Brig Jen Rosli Maarof dan Brig Jen Ahmad Jais Tasliman.

Gambar: Pbt Nanatasha Ngadan & Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online