Tag: Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain

  • Kerjaya Ekonomi Gig Membuka Lembaran Baharu Kepada Veteran ATM

    Kerjaya Ekonomi Gig Membuka Lembaran Baharu Kepada Veteran ATM

    KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz mengucapkan syabas dan tahniah di atas dedikasi serta semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam mengambil berat isu-isu berkaitan kesejahteraan hidup veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Hari ini kita akan menyaksikan pelancaran yang akan menjadi satu langkah bersejarah dalam usaha menggalakkan dan memartabatkan veteran ATM menerusi penglibatan di dalam kerjaya ekonomi gig kerana permintaan terhadap kerjaya ini semakin meningkat kesan daripada pandemik COVID-19.

    “Selain itu, kerajaan telah memberi tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan pelbagai insentif yang ditawarkan kepada majikan dan peruntukan bagi perlindungan sosial dan latihan,” jelas beliau.

    Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian dalam ucapannya Sempena Majlis Pelancaran Kerjaya Ekonomi Gig untuk veteran ATM bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 12 Jan 2022.

    Tambahnya lagi, ekonomi gig ini merupakan satu terma yang semakin sinonim seperti Grabcar, Grabfood, Foodpanda, Lalamove dan perkhidmatan seumpamanya pasti mampu memberi limpahan peluang pekerjaan kepada veteran ATM di mana fleksibiliti masa dan lokasi merupakan bonus point.

    Kerjaya gig menerusi Code 7 Sdn Bhd (Code 7) yang menawarkan perkhidmatan berasaskan keselamatan adalah signifikan dengan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki majoriti veteran ATM.

    Dengan pelancaran kerjaya gig menerusi Code 7 ini, seramai 128,000 veteran ATM berpotensi untuk menyertainya dan setakat ini 517 veteran menunjukkan minat di mana 307 daripadanya telah berjaya didaftarkan sebagai E-Responder iaitu jawatan yang ditawarkan oleh Code 7.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

     

  • Majlis Serah Menyerah Tugas Pegawai Kanan TD

    Majlis Serah Menyerah Tugas Pegawai Kanan TD

    Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Kanan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyaksikan acara Serah Terima Tugas Pengerusi Rejimen Artileri Diraja (RAD), Pengerusi Kor Ordnans Diraja (KOD), Ketua Jurutera, Pengarah RAD dan Pengarah KOD di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 18 Mei 2022.

    Majlis dimulakan dengan Serah Terima Tugas Pengerusi dan Pengarah RAD melibatkan Mej Jen Dato’ Dr Ibrahim Yasir dan Brig Jen Zulmajdi Yunus manakala Mej Jen Dato’ Muhammad Ariff Soo Abdullah menyerahkan tugas Pengerusi KOD yang baharu kepada Mej Jen Mohd Tamam Jamioon.

    Acara diteruskan dengan Serah Terima Tugas Ketua Jurutera Markas Tentera Darat diantara Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan dan Brig Jen Fazillah Ibrahim.

    Seterusnya turut berlangsung Serah Terima Tugas Pengarah KOD di antara Mej Jen Mohd Tamam Jamioon dan Kol Suhaimi Mat Isa.

    Simbolik kesemua acara ini disempurnakan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas dan disusuli dengan pertukaran nota tersebut.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh, dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Tunaikan Amanah Dengan Cemerlang dan Penuh Komited – PTD

    Tunaikan Amanah Dengan Cemerlang dan Penuh Komited – PTD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada mereka yang dinaikkan pangkat dan selamat menjalankan tugas serta selamat maju jaya.

    “Kenaikan pangkat ini merupakan suatu pencapaian yang membanggakan kerana ianya diperoleh hasil daripada usaha gigih saudara saudari.

    “Suka saya ingatkan bahawa kenaikan pangkat ini bererti tanggungjawab yang dipikul akan turut bertambah dan saudara saudari akan terus menunaikan amanah yang diberi dengan cemerlang dan komited.

    Beliau berkata demikian dalam ucapannya Sempena Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 4 Jan 2022.

    Tambahnya lagi gunakan kebijaksanaan dan kematangan dalam menyelesaikan setiap cabaran atau permasalahan yang timbul serta jadikan nilai-nilai murni seperti amanah, berintegriti, jujur dan ikhlas sebagai pegangan.

    “Kepada pasangan mereka yang dinaikkan pangkat, saya ingin menzahirkan jutaan terima kasih di atas sokongan dan dorongan membolehkan pasangan masing-masing memberi sepenuh tumpuan kepada tugas yang diamanahkan,” ujarnya.

    Terdahulu dari itu, PTD menyempurnakan acara pemakaian pangkat kepada 53 pegawai kanan TD dimulai dengan Brig Jen Dato (Dr) Ibrahim Yasir, Brig Jen Mohd Razali Alias, Brig Jen Abdul Aziz Samsi @ Samsudin dan Brig Jen Hj Mohd Nor Abd Karim yang dinaikkan ke pangkat Mej Jen.

    Selain itu, tujuh pegawai kanan dinaikkan pangkat ke Brig Jen, 10 pegawai kanan dinaikkan pangkat Kol, 32 pegawai kanan dinaikkan pangkat Lt Kol dan tiga pegawai Kadet Luar Negara dinaikkan pangkat Lt M.

    Turut Hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Majlis Penutup Projek Perintis Kerjaya Kedua Lain-Lain Pangkat TD

    Majlis Penutup Projek Perintis Kerjaya Kedua Lain-Lain Pangkat TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT).

    “Adalah menjadi tanggungjawab saya selaku ketua perkhidmatan bagi melihat sedalam-dalamnya tentang isu yang sering dialami oleh pesara TD masa kini terutamanya berkaitan dengan kelangsungan hidup setelah bersara daripada TD.

    “Saya mahu melihat saudara sekalian berjaya dan memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya sebanyak RM 5,000 sebulan ketika pencen serta tidak mengalami masalah kewangan,” jelas PTD.

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Penutup Projek Perintis Kerjaya Kedua Lain-Lain Pangkat (LLP) TD di Dewan Tanjung, Wisma Transit Kuala Lumpur pada 30 Dis 2021.

    Seramai 100 anggota LLP TD akan menamatkan Latihan Peralihan pada 31 Dis 2021 di mana anggota ini telah menimba ilmu dan latihan kemahiran melalui pendedahan yang diterima dari tenaga pengajar di PERHEBAT dalam kursus-kursus mengikut bidang yang dipilih.

    PTD berharap agar kerjaya kedua mereka kelak berterusan dan projek perintis ini diharapkan akan dapat membantu untuk menentukan kehidupan selepas bersara. Nasib para pesara akan terus dibela seiring dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang menitikberatkan kebajikan kepada warga TD termasuk bakal-bakal pesara.

    Turut hadir, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Sofi Md Lepi, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan Ketua Pengarah PERHEBAT, Hj Zakariah Hj Md Sam.

  • Bantuan Banjir Ringankan Beban Yang Ditanggung

    Bantuan Banjir Ringankan Beban Yang Ditanggung

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menyatakan sesungguhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat berterima kasih dengan keprihatinan dan bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan United Arab Emirates (UAE) dalam membantu mereka yang terkesan dengan bencana banjir terutama kepada warga tentera dan keluarga mereka.

    “Barangan sumbangan ini terdiri daripada sejadah, Al-Quran, telekung, barang kering dapur, beras, minyak masak, hygiene kit, cadar, tilam, tuala, selimut serta bantal di mana sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mereka.

    “Selain itu, organisasi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang bertanggung jawab menjaga hal ehwal kebajikan keluarga anggota tentera turut memainkan peranan bersama ahli-ahlinya untuk bersama membantu menyalurkan sumbangan yang diterima kepada warga tentera dan ahli keluarga yang terkesan,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Bantuan Mangsa Banjir daripada Kerajaan UAE kepada ATM di Wisma Perwira ATM Pada 30 Dis 2021.

    Majlis penyampaian bantuan banjir ini telah disampaikan oleh UAE Ambassador, H.E Khalid Ghanim Alghaith kepada PAT dan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hjh Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Hj Ahmad Shah untuk diagihkan kepada warga ATM dan keluarga yang terkesan dengan musibah banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

  • PERNAMA Muncul Membawa Harapan Dan Semangat Baharu Jaga Kebajikan Anggota

    PERNAMA Muncul Membawa Harapan Dan Semangat Baharu Jaga Kebajikan Anggota

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Hj Buang TUDM menyatakan bahawa kami amat menghargai dan berterima kasih diatas kesetiaan serta keprihatinan yang ditunjukkan oleh Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama ini.

    “Dua tahun kebelakangan ini, kita semua telah mendengar dan melihat bagaimana ATM berjaya menunaikan tanggungjawabnya dalam membantu negara ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

    “Kemahiran melaksanakan Military Operations Other Than War yang dikukuhkan dengan pendekatan Whole of Government dan Whole of Society merupakan pemangkin kepada kejayaan-kejayaan yang dicapai, sehingga dapat mengeluarkan negara daripada terus ditimpa kemudaratan yang lebih dasyat.

    “Tatkala para perwira negara ini gigih menunaikan tanggungjawab di lapangan, PERNAMA muncul membawa harapan dan semangat baharu kepada mereka selain memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan dijual dengan harga yang berpatutan.

    “PERNAMA turut bermurah hati menyumbangkan bungkusan makanan yang bernilai RM 80,000 kepada ahli keluarga anggota serta para veteran yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

    PAT berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Penyerahan Rasmi Kalendar 2022 Pernama dan Sumbangan Kepada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) di Wisma Perwira ATM pada 16 Dis 2021.

    Tambah beliau lagi, sudah tentunya sumbangan wang yang bakal diterima ini merupakan sesuatu yang amat bermakna dan ianya akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

    “Saya bagi pihak seluruh warga ATM ingin mengucapkan jutaan terima kasih serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan diatas keprihatinan dan jasa baik yang telah diberikan oleh PERNAMA selama ini,” ujar PAT.

    Terdahulu, Pengerusi PERNAMA, Jen Tan Sri Dato’ Sri (DR.) Abdul Azizi Hj Zainal (B) mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian PAT meluangkan masa dan menjayakan majlis yang telah menjadi seperti acara tahunan.

    “Penghasilan kalendar tahunan ATM tajaan PERNAMA bukanlah semata-mata rujukan bulan dan tarikh sahaja, namun usaha menghasilkan kalendar tahunan ini tanpa gagal sejak lebih 35 tahun yang lalu merupakan simbolik kepada hubungan erat yang terjalin antara PERNAMA dan ATM.

    “Seperti sedia maklum, sejak tercetusnya pandemik COVID-19 anggota ATM merupakan barisan hadapan negara yang berterusan manakala memasuki tahun kedua pandemik, selain meneruskan misi utama, OP PENAWAR dan OP BENTENG, ATM turut menggerakkan anggota serta aset-asetnya bagi membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memenuhi keperluan pesakit COVID-19.

    “Perancangan untuk membina sebuah kompleks PERNAMA di Jalan Padang Tembak telah pun bermula dan sementara menanti ianya direalisasikan sebuah kedai sementara telah pun mula beroperasi di sebahagian tapak kompleks ini.

    “Kedai ini turut menawarkan barangan segar dan sejuk beku bagi memudahkan warga ATM, Kementerian Pertahanan seta keluarga yang tinggal berhampiran mendapatkan keperluan harian,” katanya.

    Majlis diakhiri dengan acara menandatangani paparan potret Kalendar ATM 2022 sebagai simbolik pelancaran majlis serta penyerahan sumbangan tahunan TKAT kepada PAT.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Datuk Seri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman.

  • TD Pahat Detik Sejarah Hitam Negara Melalui Sebuah Buku

    TD Pahat Detik Sejarah Hitam Negara Melalui Sebuah Buku

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyatakan pelancaran buku May 13,1969: Racial Riots A Security Perspective amat bermakna dalam usaha merakamkan detik-detik bersejarah iaitu mencorakkan geo-politik dan geo-sosial negara untuk tatapan generasi kini serta masa hadapan.

    “Sejarah merupakan guru terbaik untuk mengajar kita dalam mengambil segala langkah bagi mengelakkan berulangnya insiden-insiden buruk yang berlaku di persekitaran kita.

    “Selaku ketumbukan yang menjaga kedaulatan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat (TD) amat menghargai pengalaman-pengalaman lalu untuk dijadikan panduan dan pengajaran supaya melangkah dengan cermat ke hadapan.

    “Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam lipatan sejarah negara yang telah mencalarkan keharmonian hubungan antara kaum.

    “Mujurlah penglibatan aktif pihak berkuasa termasuk TD berjaya mengawal dan mententeramkan keadaan menjadi normal.

    “Peristiwa ini perlu direkod serta dibukukan agar iktibar dapat diambil dan dijadikan panduan terutamanya hubungan antara kaum yang terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza,” jelasnya.

    PTD berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Buku May 13,1969: Racial Riots A Security Perspective bertempat di Wisma Perwira Tentera Darat pada 16 Dis 2021.

    Buku May 13,1969: Racial Riots A Security Perspective dihasilkan oleh Mej Jen Dato’ Dr Nordin Yusof PHD (B) merupakan satu usaha murni yang dilaksanakan untuk mendokumenkan catatan sejarah berkaitan rusuhan tersebut.

    Ia juga telah menggariskan pengajaran yang boleh diambil daripada tragedi tersebut di mana buku ini menceritakan penglibatan TD amnya dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) khasnya dalam menangani tragedi rusuhan kaum pada tanggal 13 Mei 1969.

    Majlis diteruskan dengan simbolik acara pelancaran di mana PTD meletakkan tangan di atas globe sebagai gimik perasmian.

    Turut hadir, mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Presiden Kelab Pegawai RAMD, Brig Jen Dato’ Ahmad Zaki Mahmud (B).

    Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime

  • Tiada Kompromi Untuk Anggota Tentera Terlibat Buli-PTD

    Tiada Kompromi Untuk Anggota Tentera Terlibat Buli-PTD

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyatakan bahawa Tentera Darat (TD) tidak akan bertolak ansur terhadap anggotanya yang terlibat dalam buli.

    “Siasatan terperinci dan menyeluruh dilaksanakan terhadap anggota tentera yang terlibat dalam kes buli serta tindakan tegas akan diambil iaitu diberhentikan perkhidmatan secara serta merta.

    “Buat anggota TD, biar saya maklumkan di sini sekiranya kamu ditangkap menganiaya dan membuli anggota-anggota tentera yang lain, jika disiasat serta didapati bersalah, kamu akan diberhentikan serta-merta secepat mungkin tanpa perlu merujuk kepada Mahkamah Tentera,” tegasnya.

    PTD berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Galeri PTD bertempat di Muzium Tentera Darat, Port Dickson pada 13 Dis 2021.

    Sebelum ini tular di media sosial seorang individu memuat naik mesej perbualan yang mendakwa adiknya seorang anggota tentera yang tinggal di bilik bujang dipukul dan dibuli sekumpulan anggota senior.

    Perkara ini telah menarik perhatian Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menggesa individu membuat dakwaan terbabit supaya tampil memberikan maklumat agar siasatan menyeluruh terhadap perkara ini dapat dilakukan dengan segera.

    Tambah PTD lagi, beliau hanya mendapat maklumat bahawa adik individu tersebut dibuli namun butiran terperinci masih belum diperolehi.

    “Saya akan bertindak apabila mendapat maklumat terperinci mengenai anggota yang dibuli sama ada dari anggota TD kerana individu itu tidak menjelaskan secara terperinci tentang unit adiknya dan saya dimaklumkan bahawa kes ini telah diambil alih oleh Kementerian Pertahanan,” katanya.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur, Lt Jen Dato’ Mardzuki Mohammad.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, dan Riffat Mohd Yusof.

  • Galeri PTD Simbolik Hargai Jasa Mantan Panglima

    Galeri PTD Simbolik Hargai Jasa Mantan Panglima

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan-mantan PTD di atas kesudian hadir ke Majlis Perasmian Galeri Tentera Darat.

    “Tentera Darat (TD) amat menyanjung tinggi jasa mantan-mantan PTD yang telah berusaha gigih membentuk dan membina asas-asas kukuh membolehkan ketumbukan ini berkembang maju mengikut peredaran masa.

    “Melalui usaha mereka, TD dapat menunaikan setiap amanah yang disandarkan oleh masyarakat dan negara terhadap organisasi pertahanan ini.

    “Namun, tanpa daya kepimpinan serta cetusan idea bernas daripada mereka, kita mungkin tidak mampu berdiri sama tinggi dengan TD luar negara.

    “Pengorbanan pemimpin-pemimpin ini wajar dikenang serta diabadikan untuk tatapan generasi kini dan akan datang, maka dengan ini tercetuslah idea penubuhan sebuah galeri yang dapat memberi gambaran menyeluruh tentang sumbangan mantan-mantan PTD untuk tatapan rakyat Malaysia,” jelasnya.

    PTD berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Galeri PTD bertempat di Muzium Tentera Darat, Port Dickson pada 13 Dis 2021.

    “Saya mencadangkan agar Galeri PTD ini disenaraikan sebagai salah satu destinasi utama lawatan pegawai muda di dalam kursus induksi agar ketokohan serta cerminan nilai-nilai unggul kepimpinan mantan PTD dapat dicontohi,” ujar PTD.

    Tambah beliau lagi, usaha awal menubuhkan galeri PTD ini adalah bermula daripada hasrat mantan PTD Ke-25, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (B) untuk menyimpan dan mempamerkan koleksi milik mantan-mantan PTD.

    Majlis diteruskan dengan simbolik acara perasmian di mana PTD dan mantan-mantan PTD meletakkan tangan di atas Palm Scanner sebagai gimik pelancaran dan kemudian hadirin dipertontonkan dengan tayangan montaj Galeri PTD.

    Sebagai tanda memeterai perasmian galeri, PTD bersama mantan-mantan menandatangani plat perasmian di mana plat ini kemudian dilekatkan di bawah gambar masing-masing.

    Galeri ini adalah sebuah tempat bagi mempamerkan sejarah, pencapaian, pahit getir mantan-mantan PTD yang berjuang dan mengorbankan seluruh jiwa raga semasa mereka masih berkhidmat di dalam TD.

    Selain itu, Galeri PTD juga memaparkan biografi kesemua 28 PTD bermula sewaktu menceburkan diri dalam perkhidmatan tentera, watikah pelantikan, pengalaman sepanjang perkhidmatan, perintah ulung semasa menjadi PTD serta koleksi peribadi seperti pakaian seragam, pingat-pingat, darjah kebesaran, buku-buku yang dihadiahkan dan cendera kenangan.

    Majlis pelancaran pada hari ini dihadiri seramai 14 mantan PTD manakala 10 orang mantan PTD diwakili oleh wakil atau waris masing-masing dan majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh PTD.

    Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany merupakan waris kepada mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Allahyarham Jen Tan Sri Mohamad Sany Abdul Ghafar yang meninggal dunia pada Ogos 2015 turut diberi penghormatan untuk menandatangai plat bagi pihak ayahnya yang merupakan mantan PTD Keenam.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Mohammad.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, dan Riffat Mohd Yusof.

  • Penuntut Kursus Pra MPAT dan KPSM Diberi Amanat Oleh PTD

    Penuntut Kursus Pra MPAT dan KPSM Diberi Amanat Oleh PTD

    SELANGOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan program Pra Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) bagi sesi pengajian tahun 2022 berjalan dengan lancar.

    “Saya percaya melalui kursus selama tiga minggu bermula dari 8 Nov lalu, saudara saudari telah diberikan input yang cukup bermanfaat sebagai persiapan untuk menghadapi kursus sebenar bermula pada awal tahun hadapan.

    “Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung saya iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi yang menumpukan kepada pengukuhan profesionalisme dan pembangunan kerjaya di kalangan pegawai Tentera Darat (TD) terutamanya dalam konteks intelektual di semua peringkat kepimpinan.

    “Pemilihan saudara saudari untuk menghadiri pengajian adalah demi melahirkan pegawai TD yang mempunyai keupayaan berfikir secara kritikal, inovatif dan mampu menjadikan TD sebagai sebuah organisasi pembelajaran dan berpengetahuan,” jelas PTD.

    PTD berkata demikian dalam ucapannya sempena Penutup Pra Sarjana Sains Sosial Pengajian Pertahanan MPAT dan KPSM bertempat di Dewan Serbaguna Rejimen Ke-31 Artileri Diraja (31 RAD), Kajang pada 26 Nov 2021.

    Tambah beliau lagi, daya kognitif yang unggul pada diri setiap pemimpin akan memastikan segala maklumat strategik dapat diterjemahkan ke dalam bentuk pelan tindakan di peringkat operasional serta taktikal.

    Selain itu, PTD menegaskan bahawa Kursus MPAT dan KPSM bukanlah satu tiket mudah untuk ‘bercuti’ bahkan ianya merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu ditunaikan kepada perkhidmatan kerana pemilihan calon melalui proses yang cukup selektif.

    Seramai 106 pegawai terlibat iaitu 29 pegawai bagi Kursus Pra MPAT dan 77 pegawai bagi Kursus Pra KPSM.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi