JOHOR: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menjelaskan walaupun Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) baharu berusia 25 tahun, namun PUTD telah dapat membuktikan bahawa ia adalah aset penting Tentera Darat (TD) bagi menangani ancaman keselamatan yang multi domain sifatnya.
“Pucuk pimpinan tertinggi TD sentiasa memberikan tumpuan dan keutamaan terhadap aspek pembangunan keupayaan PUTD yang mana antara pembangunan yang dirancang ialah perolehan pesawat baharu MD530G buatan Amerika Syarikat dijangka akan memasuki inventori PUTD pada bulan Jun 2021.
“Bagi meningkatkan keupayaan operasi serta kemahiran Juruterbang, TD ketika ini sedang mengusahakan penyewaan pesawat bagi menggantikan pesawat Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatannya dan bertujuan memastikan kesiagaan PUTD dapat dikekalkan serta bertindak sebagai combat multiplier kepada formasi-formasi tempur,” jelas PTD.
Tambah beliau lagi dengan sokongan dan kepercayaan penuh oleh kerajaan serta pucuk pimpinan TD, matlamat mewujudkan angkatan udara yang kredibel akan menjadi realiti dan keupayaan pertahanan menyeluruh dapat dicapai.
PTD berkata demikian semasa ucapannya dalam Pebarisan Lawatan Ulung PTD dan Jubli Intan PUTD Ke-25 di Padang Kawad Dispersal Area Rejimen 881 PUTD pada 8 Dis 2020.
Selain itu PTD turut menyeru seluruh warga PUTD sentiasa memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap tugas serta perlu bersatu dengan mengamalkan semangat esprit de corps dan moral yang tinggi.
“Anda semua perlu profesional, terampil dan berupaya menzahirkannya ke tahap yang membanggakan kerana hanya dengan itu pasukan ini dapat menjadi angkatan yang versatil, ampuh serta dapat diharapkan untuk mempertahankan kedaulatan negara tercinta,” tegas PTD.
PTD juga merakamkan penghargaan kepada mantan pengarah-pengarah PUTD di atas segala sumbangan dan pengorbanan yang pernah dicurahkan dalam membentuk organisasi ini sehingga berusia 25 tahun.
Mengimbas sejarah PUTD, pasukan ini telah ditubuhkan dengan rasminya pada 11 Mac 1995 bertempat di Pangkalan Udara, Kluang dan dirasmikan oleh Dato’ Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak selaku Menteri Pertahanan ketika itu.
Sejak detik bersejarah itu, PUTD telah berkembang dengan pesat dan kini mempunyai dua buah pasukan iaitu Rejimen 881 PUTD dan Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD.
PUTD juga telah mengoperasikan beberapa jenis pesawat iaitu Alloute MK III, A109 LOH serta S61A-4 Nuri TD manakala pesawat MD530-G bakal memasuki inventori PUTD pada tahun hadapan.
Terdahulu sebaik ketibaan PTD, beliau menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan melibatkan tiga detasmen terdiri daripada 13 pegawai dan 155 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Jabatan Arah PUTD, Rejimen 881 PUTD dan Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD diketuai oleh Lt Kol Muhammad Fadzarudin Othman.
Perbarisan yang diadakan ini adalah berkonsepkan tempur secara statik sesuai dengan norma baharu serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.
Acara dimulakan dengan Penganugerahan Beret Kehormat PUTD kepada PTD dan pemakaian Sayap Juruterbang TD kepada dua pegawai iaitu Kapt Mohamad Hudha Mohd Mortador dan Kapt Muhammad Saifuddin Shaharoni diikuti pemakaian Sayap Kuartermaster Udara TD kepada Sjn Mohd Izham Amirul Amir serta PTD menandatangani plat Jubli Perak PUTD diiringi Pengarah PUTD, Brig Jen Yazid Yusuf.
Selesai acara perbarisan, PTD bergerak ke Bilik Horizon bagi sesi taklimat berkaitan perkara Operasi, Pentadbiran dan Logistik PUTD yang telah disampaikan oleh Pengarah PUTD.
Turut hadir Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail dan Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohamed Fauzi Kamis.
Gambar: Pbt Mohammad Shafirin Mohd Radzi