Bersama PemimpinHUTSemasa

Demonstrasi Hari ATM Berkelas Dunia – PAT

NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menzahirkan rasa bangga dan syabas atas pertunjukkan demonstrasi dinamik yang berkelas dunia.

“Saya mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pertunjukkan yang menggerunkan dan sekarang kamu semua sudah bersedia untuk pertunjukkan berkelas dunia,” jelas PAT ketika berucap semasa sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-88 di Padang Kawad Kem Segenting pada 22 Sep 2021.

Tambah PAT lagi, pertunjukkan yang dipamerkan membuktikan bahawa kesiagaan ATM sentiasa berada di tahap yang tertinggi sepanjang masa.

“Suka saya kongsikan perancangan masa hadapan ATM yang sedang diusahakan melalui dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 yang kini berada di peringkat akhir penambahbaikannya.

“SKN 2.0 memberi tumpuan kepada reformasi Angkatan Masa Hadapan melalui ciri-ciri yang meliputi kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, dalam kesungguhan mencapai Angkatan Masa Hadapan perlu diingatkan bahawa perancangan, pembangunan dan perolehan pertahanan hendaklah dilaksana secara menyeluruh kerana kegagalannya akan memerangkap ATM ke arah menjadi sebuah Angkatan yang lompong.

PAT menyeru semua Panglima Perkhidmatan dan seluruh warga ATM untuk bersama beliau bersedia membuat anjakan paradigma untuk menerima dan mengaplikasikan strategi ketenteraan negara ini kerana sudah tiba masanya ATM membina kembali keupayaan angkatannya bagi mendepani cabaran utama keselamatan dan kedaulatan negara.

“Pada masa sama, ATM melalui Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sedang mengusahakan inisiatif bagi memperkasakan para isteri dan keluarga melalui Program Transformasi Digital BAKAT atau e-BAKAT, dimana para isteri berpeluang meningkatkan kemahiran keusahawanan secara digital yang mana sedikit sebanyak dapat menjana pendapatan tambahan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup keluarga.

“Kepada mereka yang bakal menamatkan perkhidmatan pula, beberapa inisiatif telah diwujudkan dengan kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) antaranya Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL), Program Kerjaya Kedua, penganjuran kursus-kursus peralihan dan kemahiran yang melayakkan mereka memperolehi sijil yang diiktiraf oleh sektor awam dan swasta,” jelas PAT.

Terdahulu PAT menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan yang diketuai oleh Kol Mohd Rosli Abu Bakar melibatkan seramai 40 pegawai dan 682 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM yang berkonsepkan perbarisan statik tempur dengan penglibatan lapan detasmen.

Keseluruhan penglibatan pegawai dan anggota dalam menjayakan sambutan Hari ATM pada tahun ini adalah seramai 2,500 anggota dan Pelaksanaan Latihan Kesiagaan memperlihatkan aset serta kompetensi ATM melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), secara tidak langsung mempamerkan kredebiliti ATM dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sentiasa terpelihara.

Sambutan Hari ATM pada tahun ini bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ dilaksanakan dengan dua segmen iaitu segmen demonstrasi dinamik dan segmen perbarisan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang terkawal tanpa kehadiran penonton.

Seterusnya Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain selaku Penaung Jawatankuasa Penganjur mengiringi PAT untuk penyampaian Anugerah Kesiagaan PAT Tahun 2021 yang merupakan anugerah tertinggi dalam ATM, dimana anugerah bagi kategori Formasi atau Bgd terbaik TD dimenangi oleh Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal, bagi kategori Pasukan terbaik TLDM dianugerahkan kepada Pegawai Memerintah KD Lekir, Komander Asri Dasman TLDM dan kategori Pangkalan Udara terbaik TUDM berjaya disandang oleh Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Zulkiffli Hj Musa TUDM.

Walaupun tahun 2021 merupakan tahun kedua ATM berhadapan dengan cabaran dalam menggalas tugas sekundernya bagi membantu negara mengekang penularan pandemik COVID-19, namun situasi ini tidak menjadi penghalang untuk ATM terus memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

ATM sebagai benteng utama pertahanan negara akan terus komited untuk mendokong misi dan wawasan negara bagi menentukan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman Hj Ayob TLDM.

Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohamad Shukri Suhaimi, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Saifun Hakimi Zainon

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button