NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain memanjatkan kesyukuran diberi kesempatan menghadiri perbarisan penghargaan sempena persaraan Mantan Komandan Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (INSPEKA), Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron yang bakal menamatkan perkhidmatan pada 27 Okt 2021.
“Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah mengorbankan seluruh jiwa dan raganya serta sentiasa komited terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan.
“Saya menyarankan ketokohan dan kecemerlangannya diteladani oleh seluruh warga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) agar dapat membentuk keperibadian yang terpuji dalam diri masing-masing sekaligus membantu RAMD kekal sebagai sebuah kor yang unggul dan kredibel,” jelasnya.
PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron di Padang Kawad, Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) pada 20 Okt 2021.
Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron mula mengikuti latihan ketenteraan di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson pada 1 Jun 1980 sebelum memulakan kerjaya sebagai Pegawai Muda pada 17 Jun 1982 di 21 RAMD yang berpangkalan di Sabah pada ketika itu.
Beliau juga telah menyandang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Pegawai Memerintah Batalion 305 Infantri (AW), Pengarah Psikologi dan Kaunseling Tentera Darat di Cawangan Sumber Manusia (CSM), Ketua Staf MK 2 Div, Ketua Bahagian Tadbir dan Logistik ESSCOM dan Penasihat Pertahanan Malaysia di Jakarta.
Perbarisan perhargaan ini dilaksanakan dalam norma baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan seramai 17 pegawai dan 250 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan diketuai oleh Pegawai Memerintah 15 RAMD, Lt Kol Ismazaini Ismail.
Sejurus tamat perbarisan, PTD kemudiannya diiringi ke Wisma Perwira 15 RAMD bagi menikmati jamuan dan menonton tayangan video montaj yang memaparkan serba sedikit coretan kenangan sepanjang perkhidmatan Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron.
Simbolik acara diakhiri dengan Street Lining mengikut SOP bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 2 Div, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime