KUALA LUMPUR: Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Laksamana Kedah, Dato’ Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Karya Tentera Ke Takhta secara maya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur pada 5 Jun 2022.
Karya ini merupakan hasil nukilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Kedah Ke-29, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mencoretkan perjalanan hidup baginda bermula dari detik kelahiran sehingga ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-29.
Selain dihasilkan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, buku tersebut turut menggunakan gaya penulisan autobiografi dan kaedah teknik penceritaan novel bagi memberi lebih kepuasan serta penghayatan kepada para pembaca.
Terdahulu, para hadirin menyambut ketibaan Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) merangkap Pengerusi Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Mej Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan Panglima Logistik Tentera Darat merangkap Pengerusi Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Mej Jen Hj Abdul Aziz Samsi@Hj Shamsudin di mana KDYMM Sultan Kedah adalah merupakan Kol Yang Di-Pertua bagi kedua-dua kor tersebut.
Sebelum video titah pelancaran oleh YTM Tunku Laksamana Kedah ditayangkan, majlis terlebih dahulu diserikan dengan gimik bacaan sajak beserta tayangan video montaj sebagai bentuk tanda apresiasi terhadap karya Tentera Ke Takhta.
Seterusnya, Ketua Jabatan di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Dr Shamsudin Othman mengendalikan sesi kupasan isi-isi tersurat dan tersirat karya bersama barisan panel jemputan yang arif di lapangan penulisan, bahasa dan tentera iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Lt Kol Heera Singh dan Puan Lily Haslina Nasir.
Kemudian, Pengerusi RAMD dan Pengerusi KPD mengakhiri acara dengan menyampaikan cenderahati kepada moderator dan ahli panel jemputan yang terlibat.
Pelaksanaan majlis seumpama ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.
Turut hadir, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.
Gambar: Riffat Mohd Yusof