MELAKA: Upacara Penutup Eksesais LINUD MALINDO yang melibatkan Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (17 RAMD (Para)) dan Yonif Para Rider 432 telah berlangsung di Dataran Parawood Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (Para) (8 RRD (Para)) pada 8 Ogos 2022.
Eksesais LINUD MALINDO merupakan latihan bilateral secara tahunan berkonsep Operasi Lintas Udara (Airborne Operation) di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) yang dikelolakan khususnya oleh Briged Ke-10 (Para) (10 Bgd (Para)) dengan kerjasama KOSTRAD TNI-AD (SATGAS LINUD – Satuan Tugas Lintas Udara).
Objektif eksesais adalah bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua angkatan TDM dan TNI-AD untuk berkongsi pengalaman, kebolehan serta kepakaran, di samping meningkatkan lagi hubungan professional ketenteraan di antara Malaysia dan Indonesia.
Tambahan lagi, Eksesais LINUD MALINDO ini berbentuk latihan pertahanan yang dirangka untuk mengintergrasikan kedua-dua angkatan TDM dan TNI-AD dalam menjalankan peranan dan tugas strategik.
Eksesais ini telah berlangsung selama 10 hari, bermula dari 1 hingga 10 Ogos 2022 yang melibatkan tiga fasa latihan iaitu Fasa Persiapan, Fasa Pelaksanaan dan Fasa Penilaian.
Sempena acara penutup, Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Panglima Divisi Infanteri 3 KOSTRAD, Mayor Jenderal TNI Dwi Darmadi bersama Delegasi TNI-AD menyertai acara Fun Shooting yang diadakan di Lapang Sasar PIAW diikuti acara MALINDO Fun Run.
Acara penutup diteruskan dengan Upacara Perlucutan Toha Eksesais dan Pemakaian Sayap Penerjunan yang disempurnakan oleh Panglima 10 Bgd (Para) serta Panglima Divisi Infanteri 3 KOSTRAD.
Panglima 10 Bgd (Para) dalam ucapannya menyatakan bahawa setiap objektif yang disasarkan telah berjaya dicapai dengan baik berkat semangat setiakawan dan kerjasama yang ditunjukkan kedua-dua pihak.
Eksesais yang dilaksanakan ini sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan dalam memfokuskan kerjasama ketenteraan serantau dan antarabangsa.
Gambar: LKpl Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul