KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyatakan bahawa Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) Tentera Darat (TD) merupakan platform yang dapat memupuk semangat kebersamaan serta menjadi elemen penting dalam sebuah angkatan pertahanan yang teguh bersatu.
“Hanya dengan kesatuan yang jitu, peranan kita sebagai benteng utama pertahanan negara dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan.
“Saya berkehendakkan agar tradisi yang telah sebati dalam kehidupan sebagai anggota tentera terus dilaksanakan dan sentiasa disuburkan pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ucapannya dalam Majlis MMR PTTK TD yang dihadiri seramai 353 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) PTTK di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 6 Dis 2022.
Majlis penuh istiadat ini merupakan adat serta budaya rejimental yang diamalkan sejak sekian lama bertujuan untuk menghargai dan meraikan Hari TD di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mantan Sarjan Mejar Rejimen (SMR) TD bersama PTTK walaupun mereka telah bersara.
Selain itu PTD menyeru setiap peringkat PTTK agar sentiasa berusaha meningkatkan potensi diri serta terus komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Tambahnya lagi, setiap warga TD akan memperoleh hak mereka selepas perancangan penambahbaikan skim perkhidmatan iaitu rancangan kenaikan pangkat secara time based serta kenaikan band.
Majlis diserikan lagi dengan acara memotong kek Hari TD dan penyampaian cenderahati serta persembahan daripada Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) dan wakil PTTK.
Pelaksanaan acara rejimental ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, SMR TD, PW I Mohd Pauzi Mohd Ali dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Pbt Mohammad Tuan Farizal Tuan Dir