KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melalui Majlis Angkatan Tentera (MAT) telah memperkenankan seramai 26 pegawai dan 465 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) untuk diserap ke dalam 15 Kor dan Rejimen dalam Tentera Darat (TD).
Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menyempurnakan Perbarisan Penyerapan Pegawai dan Anggota Sukarela Yang Dipertugaskan Sepenuh Masa Ke Dalam Angkatan Tetap di Padang Kawad Kem Kementah pada 12 Jul 2023.
PTD ketika berucap dalam perbarisan ini menitipkan pesanan agar sentiasa menghindari diri daripada melakukan kesalahan yang bertentangan dengan kehendak perkhidmatan sehingga menjejaskan prestasi kerjaya.
Tambahnya lagi, penyerapan ini dapat membantu menjaga kebajikan melalui pembayaran pencen, peluang melanjutkan pelajaran di bawah tajaan perkhidmatan, berpeluang untuk berkhidmat di luar negara, memberi kemudahan membuat pinjaman perumahan kerajaan dan beberapa kemudahan lain yang tidak disediakan kepada pegawai dan anggota sukarela yang dipertugaskan sepenuh masa.
Beliau juga menyeru kepada seluruh generasi muda untuk menyertai Kor Wataniah bagi membantu mengukuhkan barisan hadapan benteng pertahanan negara.
Kali terakhir penyerapan secara besar-besaran ini dilakukan tiga tahun yang lalu iaitu pada tahun 2020.
Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan, Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir