KEDAH: “Jaga dan tingkatkan mutu disiplin serta kerjasama diantara satu sama lain perlu dieratkan demi menjaga nama dan maruah Tentera Darat (TD) malahan jangan sekali-kali kita memburukkan nama organisasi yang cukup hebat dengan disiplin ini,” tegas Mej Jen Dato’ Wira Hj Mohd Noor Hj Daud semasa ucapannya dalam Perbarisan Penghargaan beliau bertempat di Padang Kawad Batalion Ke 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Mekanize (19 RAMD Mek) pada 12 Ogos 2016.
Terdahulu Mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM itu yang pernah menjadi Panglima 2 Div dan 6 Bgd menerima tabik hormat yang terakhir dari 19 pegawai dan 480 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dibawah naungan Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (MK 6 Bgd) lalu memeriksa kontijen perbarisan.
Perbarisan ini bertujuan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh Mej Jen Dato’ Wira Hj Mohd Noor Hj Daud yang telah berkhidmat di dalam ATM selama 41 tahun yang akan bersara.
Selain itu dalam ucapannya beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut.
Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim , Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Fadzil Mokhtar dan Panglima 6 Bgd Brig Jen Dato’ Dzulkarnain Ahmad.
Gambar: Sjn Vijay Gaundar Arikrishnan