MELAKA: Seramai 4 pegawai dan 26 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah dianugerahkan Beret Hijau Gerak Khas dalam upacara Perbarisan Penutupan Kursus Asas Komando Siri AK 3/2016 pada 21 Jan 2017 yang disempurnakan oleh Panglima Grup Gerak Khas (GGK), Mej Jen Datuk Zolkopli Hashim di Pantai Betutu Laut, Sg Udang.
Kursus Asas Komando yang diadakan selama 12 minggu ini melatih penuntutnya agar mempunyai daya ketahanan dan fizikal yang tinggi sejajar dengan kepakaran GGK sebagai barisan penyusupan Tentera Darat.
Dalam ucapan Panglima 21 GGK, beliau mengingatkan kepada semua anggota GGk dan penuntut kursus supaya sentiasa menjaga dan mempertahankan maruah Beret Hijau yang menjadi lambang kepada GGK dan tidak sesekali mencemarkannya dengan perbuatan yang remeh.
“Peperangan pada masa hadapan dan keadaan geo strategik sentiasa berubah dan semakin kompleks memaksa anggota GGK untuk mempersiapkan diri dalam medan perang dan sentiasa berwaspada bila-bila masa dengan menggunakan konsep pertahanan bercorak defensif dalam penggabungan peperangan conventional dan unconventional” katanya.
Penuntut terbaik dinobatkan kepada Lt Muda Muhamad Idzihar Faiq Ibrahim dari Rejimen Kedua Artileri Diraja.
Turut hadir Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Hassan Ali, Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kol Adi Ridzwan Abdullah,Komander Operasi, Kol Khairul Anuar Hj Yaakob, veteran komando dan keluarga penuntut.