KUALA LUMPUR: Seramai 95 pegawai dan 112 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kurniakan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) dalam Istiadat Pengurnian DKAT Malaysia tahun 2015 yang dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almu’ Tasimu Billah Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’Adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam sesi pertama di Balairung Seri Istana Negara pada 20 Okt 2015.
DKAT dimulakan dengan tiupan Nafiri menandakan SPB Yang di-Pertuan Agong dan Pemaisuri Agong berangkat masuk ke Balairung Seri lalu istiadat Pengurniaan dimulakan dengan pengurniaan pingat terdiri dari Pingat Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Bentara Angkatan Tentera (BAT).
Dalam masa yang sama tujuh Dif Kenamaan asing turut dikurniakan DKAT melibatkan lima daripadanya menerima PGAT Kehormat manakala dua lagi menerima PAT Kehormat.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Dato’ seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima ketiga-tiga perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.