SELANGOR: Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Div) muncul Juara Keseluruhan kali ketiga berturut-turut bagi Kategori Lelaki dalam Kejohanan Olahraga Tentera Darat (TD) Ke-35 dengan pungutan lapan pingat emas, empat pingat perak serta lima pingat gangsa yang mana acara penutup kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi bertempat di Mini Stadium Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 19 Mei 2016.
Manakala MK 4 Div muncul juara keseluruhan kategori Wanita dengan mengumpul lapan pingat emas, tiga pingat perak, dan satu pingat gangsa serta gelaran Olahragawan dan Olahragawati dianugerahkan kepada Kpl Fakarudin Ismail dan Kpl Norina Damnoen yang mana kedua-duanya dari MK 4 Div
Peserta Terbaik dianugerahkan kepada LKpl Siti Rahayu Nasir dari MK 2 Div dengan pungutan dua pingat emas dalam acara Lompat Tinggi dan 4x100m serta tiga pingat perak dalam acara 100m Lari Berpagar, 400m Lari Berpagar dan 4x400m.
Dalam ucapan TPTD beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pemerintahan Medan Barat TD (PMBTD) yang menjadi penganjur kejohanan pada tahun ini diikuti warga kerja teknikal yang bertungkus-lumus dalam menjayakan kejohanan serta mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pemenang.
“Menang atau kalah bukanlah perkara yang penting kerana objektif yang lebih mustahak dan bermakna ialah pembentukan satu pasukan kerja yang proaktif, dinamik dan berdaya tahan bagi memacu kecemerlangan organisasi,” ujarnya.
Turut hadir Panglima Pemerintahan Medan Barat TD (PMBTD) Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima- panglima Formasi, dan pegawai kanan TD.
Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli dan Sjn Vijay Gaudar Arikrishnan