KUALA LUMPUR: Seramai 1000 warga Tentera Darat (TD) serta masyarakat awam sekitar Sungai Besi menghadiri Khutbah Khas Solat Jumaat Sempena Hari Tentera Darat Ke-85 di Masjid Toriq Ziyad Kem Perdana Sungai Besi pada 2 Mac 2018.
Khutbah Khas ini bertemakan Sehati Sejiwa Mendukung TD yang dibacakan oleh Pegawai Staf 1 Agama MK TD, Lt Kol Muhamad Azmi Wahab yang mana intipati khutbah mengajak seluruh warga TD serta jemaah untuk memperkasakan lagi takwa masing-masing kepada Allah dengan berkemahuan tinggi melakukan apa yang diperintahkan dan di dalam masa yang sama memiliki kekuatan yang kental untuk menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah.
Terdahulu dari itu Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim bersama warga TD membaca Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Hari TD Ke-85.
Semasa Khatib membaca khutbah, beliau berpesan TD mestilah bertekad dan menggenggam keazaman yang tinggi untuk terus menunjangi serta mendominasi aspek ketahanan pertahanan negara yang mana perlu memberi tumpuan kepada kemampuan dalam operasi konvensional, operasi bersama dan latihan bersama dengan tentera daripada luar negara.
Selain itu anggota TD juga semestinya memiliki kekuatan fikrah, minda yang cerdas, aktif dan dinamik yang mampu membina daya intelektual yang tinggi serta berdaya maju lebih-lebih lagi di era ledakan maklumat yang mementingkan manusia aktif serta pantas berfikir bagi membina kekuatan minda yang berkeupayaan tinggi sehingga berjaya meletakkan TD sebaris dengan organisasi lain.
“Sehati sejiwa mendukung TD adalah ungkapan yang menggambarkan keutuhan, kesatuan, kebersamaan serta kesefahaman warga TD dalam menempuh detik kesusahan, kesukaran dan saat mengecapi kejayaan dimana ramuan inilah yang telah menjadikan TD terus bergerak ke hadapan dan diyakini oleh seluruh rakyat akan kewujudan dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
“Sesuai dengan tugas semua warga TD dituntut untuk mendukung pengukuhan kesepaduan angkatan dengan mengenepikan sebarang bentuk elemen yang boleh membawa kepada perpecahan seterusnya melemahkan kesatuan melalui kesepaduan pemikiran,” kata Khatib.
Pada masa sama Khatib turut berpesan berkenaan kewujudan TD sebagai tonggak utama benteng pertahanan negara sejak 85 tahun yang lalu adalah hasil daripada sumbangan bakti serta pengorbanan pahlawan terdahulu telah diwarisi oleh generasi kini yang mana sejarah bermula dari episod perjuangan menentang penjajahan Jepun diikuti era konfrontasi, peperangan melawan insurgensi serta disusuli tragedi pencerobohan di Lahad Datu yang merupakan manifestasi keberanian, kesetiaan,keikhlasan dalam memikul amanah mempertahankan kedaulatan negara.
Di akhir khutbah, Khatib mengingatkan warga TD perlu berfikiran futuristik dan bersikap kompetitif dengan kebijaksanaan menguasai teknologi serta menyepadukan semangat esprit de corp bagi memantapkan aspek pengurusan di semua peringkat selain berusaha meningkatkan kualiti hidup demi melaksanakan tugas dengan penuh ikhlas, amanah dan bertanggungjawab serta menghindari dari terlibat dalam perkara yang boleh mencalarkan nama baik TD.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Ketua Staf TD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharudin serta pegawai kanan TD.