MELAKA: Seramai empat pegawai dan 59 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah dianugerahkan Beret Hijau Gerak Khas dalam upacara Perbarisan Penutupan Kursus Asas Komando Siri AK 1/2018 pada 12 Jun 2018.
Majlis disempurnakan oleh Commander National Special Operation Forces (NSOF), Brig Jen Hj Mazlan Md Sahalan di Pantai Betutu Laut, Sg Udang.
Pelaksanaan Kursus Asas Komando ini adalah untuk memilih pegawai dan anggota LLP TD yang betul-betul layak berkhidmat dalam Grup Gerak Khas (GGK) kerana GGK adalah pasukan elit TD yang digeruni.
Kursus ini berlangsung selama tiga bulan dan dipecahkan kepada lima peringkat merangkumi peringkat kem, hutan, paya, laut dan penutup.
Terdahulu acara dimulakan dengan demonstrasi serbuan mengejut pantai diikuti Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas dan Demonstrasi Kepakaran oleh Skuadron Lawan Keganasan dari 11 Rejimen Gerak Khas (11 RGK).
Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan dan kesiapsiagaan trup TD amnya dan khususnya 11 RGK serta 21 GGK sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa selain sebagai perisai pertahanan negara.
Dalam ucapan Commander National Special Operation Forces (NSOF), beliau mengingatkan kepada semua anggota GGk dan penuntut kursus supaya sentiasa menjaga dan mempertahankan maruah Beret Hijau yang menjadi lambang kepada GGK dan tidak sesekali mencemarkannya dengan perbuatan yang remeh.
“Perubahan kepada konsep pertahanan negara dan ancaman hari ini, Gerak Khas memainkan peranan yang penting dalam penggabungan antara peperangan Conventional atau Unconventional selain daripada operasi gabungan, sebagai pasukan elit dan anggota elit Malaysia.
“Pada masa sama sentiasa mencari kaedah atau pendekatan latihan yang terbaik pada sebilang masa untuk menyiapkan satu angkatan yang kredibel dan ampuh dari aspek taktikal, operational dan strategik agar peranan serta tugas dalam mempertahankan negara dapat direalisasikan dalam apa jua bentuk ancaman,” katanya.
Penuntut Terbaik dinobatkan kepada Lt M Azmi Zakaria dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Turut hadir Panglima 21 GGK, Mej Jen Datuk Hassan Ali, Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Datuk Jamaludin Jambi, Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kol Adi Ridzwan Abdullah, Veteran GGK dan keluarga penuntut kursus.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali, Saifun Hakimi Zainon
[srizonfbalbum id=221]